KLANG - Polis Klang Utara akan mempergiatkan hebahan dan mengedar borang balik kampung kepada orang ramai yang akan pulang beraya sempena cuti Aidilfitri kali ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya setakat ini baru menerima 18 permohonan balik kampung sehingga Khamis.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerima sebanyak 17 permohonan borang balik kampung manakala satu permohonan diterima melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
"Bagi meningkatkan kesedaran awam, unit peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) digerakkan bagi membuat hebahan berkenaan," katanya pada Jumaat.
Katanya, langkah mengisi borang balik kampung penting sebagai makluman kepada polis berikutan ketiadaan penghuni di rumah.
"Maklumat yang diterima oleh polis akan membantu anggota untuk membuat rondaan terutamanya di kawasan perumahan.
"Selain itu, ia juga membantu pihak polis dalam menguatkuasakan rondaan cegah jenayah sepanjang musim perayaan ini," katanya.
Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan aktiviti jenayah melibatkan harta benda akan meningkat di daerah ini.
"Ia antaranya merangkumi pecah rumah, samun, curi kenderaan dan kes lain yang akan memberi suasana yang tidak selamat kepada penduduk Klang Utara.
"Justeru, polis mengharapkan kerjasama warga Klang Utara dalam membantu operasi cegah jenayah," katanya.
Dalam pada itu, anggota dan pegawai IPD Klang Utara turun padang mengedarkan risalah berkaitan pencegahan jenayah di sekitar Bazar Ramadan Jalan Paip di Meru pada petang Khamis.