Aidilfitri: Bomba Perak beku cuti 900 pegawai, anggota

Iklan
Sayani (tengah) bersama petugas media yang hadir sempena majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa bersama Media Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak pada Khamis.

IPOH - Seramai 900 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dibekukan cuti bagi siap siaga menghadapi sebarang kebakaran dan kecemasan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, jumlah itu melibatkan 70 peratus daripada keseluruhan 1,270 anggota di seluruh negeri berkuat kuasa 8 April ini.

Iklan
Iklan

"Kita juga telah membuat persediaan dari segi keanggotaan yang mana tahun ini JBPM beri sedikit kelonggaran (berbanding tahun lalu) dengan 30 peratus daripada anggota bertugas dibenarkan bercuti raya.

"Bermakna 70 peratus lagi akan siap sedia bagi kerja-kerja penyelamatan," katanya sempena Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa bersama Media Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad.

Sempena majlis itu, anggota bomba membakar 350 lemang dan menyediakan juadah rendang untuk diagihkan kepada anggota dan petugas media sebagai tanda berkongsi rezeki.

Iklan

Sayani berkata, bagi respon penyelamatan lebih cekap, anggota dan jentera turut ditempatkan di tiga plaza tol negeri ini iaitu Tapah, Kuala Kangsar dan Kamunting.

"Anggota berada di tiga kawasan ini untuk tingkatkan tahap kesiapsiagaan sekiranya berlaku kemalangan di laluan lebuh raya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Sayani berkata, setakat ini pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 170 premis perniagaan termasuk hotel dan inap desa yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang tempoh perayaan ini.

Katanya, daripada pemeriksaan itu, sebanyak 27 notis menghapus bahaya kebakaran telah dikeluarkan untuk diambil tindakan segera.

"Kebiasaannya memang ramai yang bercuti ambil keputusan untuk duduk di hotel dan inap desa. Jadi adalah penting untuk kita memastikan kawasan ini berada dalam keadaan selamat untuk dijadikan penginapan kepada orang awam," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!