REMBAU - Seorang wanita warga emas akhirnya dapat mendiami kediamannya semula selepas rumahnya terbakar dan terpaksa tinggal 'menumpang' selama tujuh bulan.
Bantuan pembinaan rumah yang diterima Zainab Abdullah, 71, daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin itu semestinya memberi sinar kegembiraan buatnya lebih-lebih lagi Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Zainab berkata, dia tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka peninggalan arwah ibunya musnah 100 peratus dalam kebakaran akibat litar pintas pada September lalu.
"Atas ihsan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, saya dan dua anak tinggal di rumah sewa, namun malangnya rumah itu pula terbakar selepas sebulan kami tinggal di situ.
"Kami kemudian ditempatkan pula di rumah transit bantuan kerajaan iaitu Rumah Rimbunan Kaseh sementara menanti rumah baharu saya siap dibina dan Alhamdulillah hari ini (Khamis) saya dapat kembali ke rumah kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas majlis penyerahan rumah disempurnakan oleh ADUN Kota, Suhaimi Aini di Kampung Lada di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pegawai Daerah Rembau, Mohd Zamri Bin Mohd Esa.
Tambah Zainab, dia berterima kasih kepada pihak kerajaan yang sudi membantunya dan tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri di rumah baharu.
Katanya, dengan keadaan kehidupannya yang bergantung dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mana mungkin dia mampu membina rumah baharu sendiri.
"Saya ada tiga anak lelaki, seorang adalah orang kurang upaya (OKU). Dua anak tinggal bersama saya tetapi masing-masing kerja biasa saja.
"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu membina rumah saya ini, raya kali ini tentunya lebih gembira buat kami," katanya.
Sementara itu, Suhaimi berkata, rumah itu mula dibina pada 18 Disember lalu dan siap pada 18 Mac lalu membabitkan peruntukan sebanyak RM66,000 daripada KKDW.
Ujarnya, agensi pelaksana adalah Giatmara dan kontraktor yang bertanggungjawab membinanya ialah Talian Akrab Enterprise.
"Apabila dapat maklumat kejadian yang menimpa makcik Zainab ini, saya terus panjangkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Rembau untuk tindakan bantuan membina rumah segera.
"Alhamdulillah makcik Zainab dapat beraya di rumahnya tahun ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!