Kuota, visa haji syarat istito’ah

Iklan
SUASANA di persekitaran Kaabah. Gambar kecil atas: DR ANISAH. Gambar kecil bawah: DR RAIHANAH.

Kebenaran kerajaan Arab Saudi antara faktor kemampuan tunai Rukun Islam kelima

HAJI merupakan Rukun Islam yang kelima dan ia adalah ibadah yang diwajibkan sekali seumur hidup ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat kemampuan (istito’ah).

Walaupun hukum menunaikan haji adalah wajib, ia tidak semestinya ditunaikan dengan segera. Ia boleh ditangguhkan sehingalah individu tersebut benar-benar berkemampuan untuk menunaikannya.

Iklan
Iklan

Mampu semua aspek untuk tunai haji

Istito'ah mempunyai pengertian luas yang merangkumi kemampuan dari segi bekalan, kenderaan, keamanan dan keselamatan serta kesihatan.

Iklan

GAGAL mendapatkan visa haji serta kuota haji menyebabkan syarat istito'ah (kemampuan) tidak dapat dipenuhi dan gugur kewajipan ibadah haji. Foto Pexels

Istito’ah dari segi bekalan bermaksud seseorang jemaah itu mempunyai bekalan yang cukup sepanjang perjalanan, bermula daripada awal perjalanannya ke Makkah sehingga pulang ke tanah air.

Iklan

Ia juga merangkumi bekalan yang mencukupi bagi mereka yang di bawah tanggungannya yang ditinggalkan pada tempoh tersebut.

Istito’ah kenderaan pula bermaksud ada kenderaan yang membolehkannya sampai ke Makkah dengan selesa, di samping aman perjalanan semasa menuju ke tanah suci serta terjamin keselamatan semasa berada di sana.

Selain itu, bagi wanita pula kewujudan mahram menjadi keperluan untuk menunaikan haji.

Begitu pun menurut pandangan Mazhab Syafie, keperluan mahram diluaskan maknanya kepada keharusan untuk wanita pergi ke Makkah apabila wujud perempuan yang dipercayai, amanah dan taat atau thiqah (nisa’ thiqah).

Ini bermaksud jika ketiadaan mahram, maka wanita diharuskan pergi bersama dua orang atau memadai juga seorang wanita yang thiqah.

Kuota, visa haji juga aspek istito'ah

Kuota haji sering menjadi aspek yang diperdebatkan oleh khalayak kerana merasakan ia tidak sepatutnya dijadikan penghalang untuk semua Muslim menunaikan kewajipan yang diperintahkan ALLAH.

Kenyataan-kenyataan seperti, kenapa perlu dihadkan kepada jumlah tertentu?, sedangkan firman ALLAH dalam ayat ke-27 Surah al-Hajj yang bermaksud:

"Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh”, menunjukkan sebaliknya.

Dengan kedudukan bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina yang terbatas, ia tidak memungkinkan untuk menampung kebanjiran manusia tanpa mengehadkannya.

Kesesakan yang keterlaluan kerana terlalu ramainya manusia yang datang menunaikan haji boleh menjadi satu ancaman kepada kemudahan, keselesaan dan lebih penting keselamatan jemaah haji.

GAGAL mendapatkan visa haji serta kuota haji menyebabkan syarat istito'ah (kemampuan) tidak dapat dipenuhi dan gugur kewajipan ibadah haji. Foto Pexels

Hal ini menjadi asbab kepada adanya peraturan tasrih dan kuota haji untuk mencegah sebarang kemudaratan atau mafsadah yang boleh timbul daripada keadaan tersebut.

Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah fiqh yang mempunyai kaitan yang rapat dengan situasi ini "Dar’ul mafasid muqaddam 'ala jalbil masalih” yang bermaksud menolak sesuatu yang lebih besar mafsadah (kemudaratan atau sesuatu yang bersifat negatif) lebih diutamakan daripada melaksanakan sesuatu yang bersifat maslahat (sesuatu yang bersifat positif), tetapi pertimbangannya lebih kecil daripada mafsadah yang ditimbulkan.

Gugur wajib haji gagal dapat visa, kuota

Orang yang tidak mendapat visa dan tidak termasuk dalam kuota yang dihadkan tidak dibenarkan menunaikan haji.

Oleh itu, kegagalan untuk mendapat tasrih (visa menunaikan haji) dan kuota haji termasuk dalam keuzuran yang mengugurkan kewajipan haji.

Konsep istito’ah hendaklah dilihat dari semua sudut selaras dengan mafhum nas az-zad wa ar-rahilah (ada bekalan dan keperluan) dan amn at-tariq (aman dalam perjalanan) dan juga tasrih (visa kebenaran haji) dan kuota haji.

Memenuhi semua syarat istito’ah, bekalan yang cukup, kenderaan yang membolehkan sampai ke tanah suci, keselamatan yang terjamin, kesihatan yang membolehkan fizikal dapat menjalani ibadah dengan sempurna bukanlah jaminan untuk dijemput ke Tanah Suci selagi tidak mendapat kuota dan kebenaran (visa) bagi menunaikan haji.

Maka hakikat perlu diterima, bahawa kuota dan visa adalah salah satu syarat istito’ah.

***DR ANISAH ABD GHANI

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji/Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

***DR RAIHANAH AZAHARI

Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji/Jabatan Kemajuan Islam Malaysia