GOPENG - Dua kelindan warga Bangladesh maut manakala pemandunya parah selepas lori dinaiki melanggar belakang lori muatan tepung di Kilometer 307.5, Lebuh Raya Utara - Selatan arah selatan di sini pada Jumaat.
Dalam nahas itu, mangsa dikenali sebagai Azizul Haque, 26 dan Ahmed Shakil, 29, masing-masing penumpang hadapan disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, laporan diterima melibatkan kemalangan sebuah lori kontena membawa muatan tepung dan lori jenis 'bonded' yang dinaiki tiga mangsa.
"Siasatan mendapati kedua-dua kenderaan terbabit berada di lorong kiri hala selatan.
"Ketika kejadian lori yang membawa muatan tepung dipercayai sedang berhenti kerana kenderaan lain di hadapannya berhenti," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.
"Pemandu lori berusia 36 tahun yang mengalami patah tangan kiri serta luka di kepala dan pipi telah dibawa mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu lori tepung berusia 58 tahun tidak cedera.
"Punca kemalangan bagaimanapun masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, sepasukan tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.55 pagi.
"Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori serta dua kelindannya tersepit.
"Pasukan melakukan penilaian risiko seterusnya melakukan operasi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat," katanya.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 8 pagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28