TAMPIN - Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan merogol adik kandungnya di Gemas pada Februari lalu.
Tertuduh berusia 17 tahun itu membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah merogol mangsa berusia 14 tahun yang mana oleh kerana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai kepada tertuduh untuk berkahwin dengannya.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 6 Februari lepas jam lebih kurang 4 petang di sebuah rumah di Gemas.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun, dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang dari 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ibu atau bapa tertuduh sahaja.
Mahkamah menetapkan 27 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.
Sementara itu, dalam kamar sama, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan sebayanya di sebuah rumah di Gemas pada 16 Februari lepas jam 9 pagi.
Oleh demikian, dia telah melalukan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat,jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang sama, manakala tertuduh diwakili peguam Roseli Abdul Gani.
Mahkamah seterusnya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ibu atau bapa tertuduh dengan syarat tidak boleh menganggu mangsa sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 27 Mei ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28