BENTONG - Pemeriksaan dan pemantauan sistem pendawaian elektrik di kawasan perumahan di kawasan Felda di negeri ini sedang dilakukan bagi mengelakkan kes kebakaran susulan musim panas ketika ini.
Exco Hal Ehwal Felda, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, langkah tersebut berikutan empat kes kebakaran yang sudah berlaku di Felda di Pahang sepanjang Ramadan iaitu dua di Jengka dan masing-masing satu di Bukit Mendi, Bera serta di Jelai, Lipis.
Menurutnya, kebanyakan sistem pendawaian elektrik rumah-rumah peneroka sudah berusia belasan tahun menyebabkan ia berisiko mudah berlaku litar lintas seterusnya berlaku kejadian tidak diingini.
"Pihak Felda sentiasa memantau dan ia dilakukan semua segi iaitu pendawaian, kebersihan rumah dan lain-lain.
"Jadi saya nasihatkan kepada warga peneroka supaya sentiasa peka dengan keadaan sistem pendawaian di kediaman masing-masing.
"Kita sudah maklumkan kepada pengarah wilayah, pengurus rancangan termasuk ketua-ketua blok untuk memastikan blok masing-masing bersih serta selesa," katanya.
Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Bersama Anak-anak Yatim dan Asnaf Pelangai membabitkan 122 anak yatim dan 126 asnaf di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Simpang Pelangai di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Dalam pada itu, Amizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai memberitahu bersyukur kerana kebakaran yang terjadi tidak membabitkan sebarang nyawa.
"Bantuan kilat juga sudah disalurkan kepada semua mangsa dan bantuan susulan juga sedang diusahakan oleh pejabat exco dan pihak Felda sendiri," katanya.
Sementara itu, Amizar juga memberitahu sumbangan kilat telah diberikan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat ribut di Felda Chemomoi di sini pada Rabu.
"Hampir 40 biji rumah, 54 peniaga bazar yang terjejas dan jumlah ini akan bertambah kerana ada yang baru pulang ke rumah masing-masing.
"Saya juga telah menghubungi pihak Felda dan Alhamdulillah pihak mereka akan menguruskan kerosakan yang besar pada rumah-rumah yang terlibat," jelasnya.