Angkasa terus bantu asnaf, B40

Iklan
Penerima sumbangan BA100 Angkasa bergambar bersama-sama Abdul Fattah (tengah) dan Akmal Eirfan (baris kedua, lima dari kanan) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meneruskan usaha menyantuni asnaf dan golongan B40 dengan menyalurkan sumbangan pek barangan asas kepada golongan berkenaan.

Sumbangan di bawah inisiatif Projek Barang Asas 100 (BA100) itu dilaksanakan pada Rabu, bersempena program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 di sini.

Iklan
Iklan

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sumbangan BA100 adalah untuk meringankan beban golongan asnaf sekali gus memberikan keceriaan kepada mereka terutamanya dalam membuat persiapan Aidilfitri yang semakin hampir.

"Sumbangan BA100 ini diberikan kepada 50 penerima terdiri daripada golongan asnaf, kumpulan B40 dan golongan rentan di sekitar Shah Alam, manakala 15 lagi adalah daripada warga Kumpulan Karangkraf.

Iklan

"Saya mengharapkan sumbangan ini mampu membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi,” katanya kepada Sinar Harian di tapak program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024.

Hadir sama dalam program itu ialah Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan dan Pengurusan Risiko) Kumpulan Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi serta Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah.

Iklan

Dalam program yang sama, menurut Fattah, Angkasa turut menyumbang 500 juadah kepada orang ramai yang hadir dan berbuka puasa beramai-ramai.

Malah, pihaknya turut meraikan rakan-rakan media sempena program itu.

"Rakan media sebagaimana yang kita tahu, mereka tidak dapat pulang berbuka puasa di rumah bersama keluarga atas tuntutan tugas.

"Oleh itu, kita berkongsi juadah berbuka ini selain meraikan kegembiraan Ramadan bersama-sama,” ujarnya yang berharap kerjasama dengan Kumpulan Karangkraf dapat diperluaskan lagi pada masa depan.

Pada majlis yang sama, Angkasa turut mengadakan tazkirah mengenai kepentingan amalan infak kepada kesejahteraan umat Islam.

Menurut Abdul Fattah, jumlah kutipan infak terkini bermula tahun 2010 adalah sebanyak RM30 juta manakala jumlah yang telah diagihkan adalah RM17 Juta.

Angkasa juga katanya, turut menyumbang sebanyak RM1.5 juta pada setiap tahun kepada Yayasan Infaq Angkasa dalam usaha memperkasa instrumen wakaf seterusnya meningkatkan pembangunan sosioekonomi ummah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28