Empat remaja termasuk dua beradik didakwa lakukan jenayah seksual

Iklan
Empat remaja lelaki termasuk dua beradik di hadapkan di dua mahkamah berasingan di Mahkamah Majistret di sini dan Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat atas tuduhan melakukan jenayah seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan di Gemas pada Februari lepas.

TAMPIN - Empat remaja lelaki termasuk dua beradik di hadapkan di dua mahkamah berasingan di Mahkamah Majistret di sini dan Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat atas pertuduhan melakukan jenayah seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan di Gemas, Februari lalu.

Di Mahkamah Majistret Tampin, tertuduh yang berusia 16 dan 17 tahun membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh berusia 17 tahun didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11 malam 20 Februari lalu di sebuah rumah di Gemas.

Iklan

Sehubungan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga disebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu tertuduh berusia 16 tahun dituduh merogol kanak-kanak perempuan sama di lokasi itu antara jam 3 hingga 8 pagi pada 21 Februari lepas.

Iklan

Berikutan itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 terhadap setiap seorang tertuduh dengan syarat tidak menganggu mangsa sehingga selesai kes.

Kes disebut semula pada 27 Mei ini bagi laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Seremban, dua remaja berusia 18 dan 19 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berasingan, iaitu tuduhan amang seksual bukan fizikal dan rogol ke atas kanak-kanak perempuan yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Datin Surita Budin kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 ke atas tertuduh berusia 18 tahun dan RM7,000 kepada seorang lagi tertuduh serta tarikh sebutan semula kes pada 9 Mei ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!