Ahli kubur menangis dengar takbir raya?

Iklan
SELALU kita diperdengarkan dengan pernyataan bahawa orang meninggal menangis apabila mendengar takbir raya. Ketahui kebenarannya dalam Islam. -Gambar hiasan

SEJAK dahulu lagi, kita sering dimomokkan dengan pernyataan bahawa ahli kubur menangis apabila mendengar takbir raya.

Lama-kelamaan ia menjadi sebati dalam diri dan masyarakat. Namun begitu, sejauh manakah kebenarannya?

Iklan
Iklan

Pengerusi Darul Tauhid Malaysia, Ustaz Abu Humayd Sufri Mahmud berkata, al-Quran secara jelas memberitahu bahawa seseorang yang sudah meninggal dunia tidak boleh mendengar apa yang berlaku di dunia atau alam orang orang hidup.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: "Sesungguhnya, engkau (Muhammad) tidak dapat menjadikan orang yang mati dapat mendengar dan (tidak pula) menjadikan orang yang tuli dapat mendengar seruan, apabila mereka telah berpaling ke belakang.” (Surah an-Naml, ayat 80)

Iklan

Dalam ayat lain, ALLAH SWT berfirman: "Maka sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan mampu menjadikan orang-orang yang mati itu mendengar dan menjadikan orang-orang yang tuli dapat mendengar seruan, apabila mereka berpaling ke belakang.” (Surah ar-Rum, ayat 52)

Bahkan, Rasulullah SAW bersabda:"Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim, An-Nasa’i, At-Tirmizi dan Abu Daud)

Iklan

"Melihat nas tersebut, sudah jelas bahawa orang sudah mati tidak boleh mendengar,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video YouTube yang dikongsikan menerusi QalbyApp.

Bukan itu sahaja, Abu Humayd Sufri berhujah, takbir raya merupakan salah satu syiar dalam Islam bagi menzahirkan atau menunjukkan kegembiraan dan kesyukuran kita kepada ALLAH SWT.

USTAZ ABU HUMAYD SUFRI

"Takbir itu adalah bertakbir sebagaimana yang diajarkan supaya kita bersyukur, bukannya supaya kita bersedih,” katanya.

Justeru katanya, tidak timbul isu bersedih atau ahli kubur menangis apabila mendengar takbir raya.

"Ini kerana hari raya Aidilfitri ialah hari kemenangan iaitu hari sepatutnya kita bergembira dan bersyukur kepada-NYA,” ungkapnya.

Sementara itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, terdapat sesetengah ulama salaf berpendapat, ahli kubur boleh mendengar jika kita dekat dengan pusara mereka.

USTAZ AZHAR IDRUS

"Bila kita lalu dekat kubur dan bertakbir ketika bukan musim raya, menangis ke orang dalam kubur? Wallahua’lam.

"Kalau ALLAH hendak jadikan dia (ahli kubur) sedih, (keadaan itu boleh) berlaku,” katanya dipetik menerusi video dipetik dalam akaun YouTube miliknya.