ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri merancang mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara sebagai usaha untuk mencapai sasaran pelaburan berjumlah RM8 bilion pada tahun ini.
Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, usaha itu sebagai langkah proaktif dalam memastikan sasaran Johor untuk menarik pelaburan selain memfokuskan kepada sektor halal dan teknologi tinggi.
Menurutnya, lokasi pertama adalah Dubai pada bulan depan dengan memfokuskan bidang pemprosesan makanan halal di mana akan berlangsungnya satu festival makanan bertaraf dunia yang disertai banyak pengeluar.
"Saya akan melawat Dubai bagi menghadiri festival makanan terbesar di dunia, kita berminat dalam bidang pemprosesan makanan kerana mahu menjadikan Johor sebagai hab halal di rantau ini.
"Asean mempunyai populasi lebih 630 juta di mana majoritinya beragama Islam dan kita akan menggunakan platform itu memasuki pasaran China dan Jepun kerana melihat permintaan tinggi dalam industri makanan halal," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Big Wheel dan URCE E-Commerce (M) Sdn Bhd di Big Wheel Seedbank Sunway Iskandar, di sini, semalam.
Jimmy Puah berkata, di Dubai nanti pihaknya mahu memperkenalkan Johor sebagai hab halal untuk pasaran Asia kerana melihat permintaan yang tinggi dalam sektor terbabit.
Selain itu, katanya, pihaknya juga berhasrat menjadikan Amerika Syarikat sebagai lokasi lawatan kedua bagi menumpukan bidang data berteknologi tinggi kerana kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan Johor sebagai sebuah kawasan lembah silikon baharu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebuah syarikat dari Perancis akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan pada tahun ini untuk membangunkan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Senai.
"Ia bukan syarikat Airbus tetapi sebuah syarikat yang membekalkan barangan kepada syarikat penerbangan berkenaan.
"Mereka akan membuat kajian lapangan yang akan mengambil masa sebelum membuat keputusan dan menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan," katanya.