SHAH ALAM - Aliran trafik dilaporkan mulai perlahan khususnya melibatkan laluan ke Pantai Timur susulan orang ramai mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.
Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menerusi hantaran di Facebook pada jam 4 petang memaklumkan, ia bermula di lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan sebelum Tol Plaza Gombak.
"Aliran trafik perlahan hampir 10 kilometer dari Gombak ke Genting Sempah, iaitu dari kilometer (km) 22.0 hingga kilometer 26.0 melibatkan jarak sejauh 4.4km (Gombak).
"Selain itu, situasi sama berlaku dari kilometer 28.1 hingga kilometer 33.6, melibatkan jarak sejauh 5.5 kilometer (Gombak-Genting Sempah).
"Aliran perlahan juga berlaku dari kilometer 35.0 hingga kilometer 37.1 melibatkan jarak 2.1 kilometer (Genting Sempah) dan dari kilometer 47.2 hingga kilometer 48.9 melibatkan jarak 1.7 kilometer (Bukit Tinggi),” katanya.
Jelasnya, kesesakan itu disebabkan pertambahan kenderaan di jalan raya.
Bagaimanapun aliran trafik di KLK dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) secara keseluruhannya masih lancar.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28