Saya tidak tahu apa-apa mengenai hubungan Zeti-Jho Low - Saksi

Iklan
Najib (tengah) ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberitahu mahkamah pada Jumaat bahawa dia tidak tahu mengenai sebarang hubungan perniagaan antara suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low.

Jasmine, 50, bagaimanapun mengesahkan bahawa Jho Low ada beberapa kali menyebut nama Zeti dengan mengatakan dia (Jho Low) akan 'uruskan' (take care) Zeti dalam perkara-perkara yang berbangkit di bank pusat itu yang berkaitan dengan dana 1MDB.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes rasuah bekas Perdana Menteri itu membabitkan penyelewengan dana RM2.3 billion milik 1MDB.

Muhammad Shafee: Adakah anda sedar mengenai perbicaraan Tim Leissner (bekas pegawai bank Goldman Sachs) di Amerika, katanya semua boleh diluluskan dengan segera disebabkan hubungan Jho Low dengan Zeti.

Iklan

Jasmine: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee sebelum ini mencadangkan Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman memandangkan kedua-dua mereka pernah menuntut di pusat pengajian berprestij Wharton Business School di Amerika.

Iklan

Peguam kanan itu malah mencadangkan Jho Low pernah memasak pasta di rumah Zeti berhampiran Bukit Tunku pada hujung minggu, satu dakwaan yang dinafikan oleh Zeti semasa memberi keterangan dalam perbicaraan sama pada 15 Ogos tahun lepas.

Sementara itu, mulai bulan ini Mahkamah Tinggi buat julung kalinya memutuskan perbicaraan kes 1MDB akan berlangsung pada beberapa hari Sabtu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 27 April, 4 dan 25 Mei, serta tambahan 1, 8, 15 Jun untuk mendengar kes itu.

Tarikh itu ditetapkan selepas pihak pendakwaan dan pembelaan tamat memeriksa Jasmine, yang memberi keterangan saksi sejak 13 Februari lepas.

Jasmine sepatutnya menjadi saksi terakhir dalam perbicaraan itu, namun boleh dipanggil semula untuk memberi keterangan sekiranya diperlukan.

Berikutan selesainya pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula terhadap Jasmine, ada beberapa saksi pendakwaan lain dalam senarai menunggu akan dipanggil semula untuk pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula iaitu Zeti; pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin; bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, serta bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah bersambung 22 April. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!