2.8 juta kenderaan guna Lebuhraya Karak, LPT1

Iklan
Gambar hiasan. Foto Bernama

KUANTAN - Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad menganggarkan sebanyak 1.954 juta kenderaan menggunakan KLK dan 882,000 di LPT1 dalam tempoh 11 hari sempena Aidilfitri.

Pengurus Besar Kanannya, Datin Radzimah Mohd Radzi berkata, peningkatan jumlah kenderaan di KLK melebihi 60 peratus manakala di LPT1 menyaksikan peningkatan yang tinggi melebihi 100 peratus semasa hari-hari puncak cuti hari raya berbanding purata trafik harian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aliran trafik dijangka meningkat secara berperingkat ke pantai timur bermula dari 5 hingga 9 April manakala menghala ke arah Barat dari 11 hingga 15 April.

"Anih Berhad telah mengambil langkah-langkah proaktif dengan menyusun rancangan operasi yang strategik demi memastikan kelancaran lalu lintas terutamanya di zon-zon yang menjadi tumpuan.

Iklan

"Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) telah dimuat naik di saluran media sosial serta laman sesawang kami untuk persiapan dan panduan pengguna lebuh raya pulang ke kampung atau bercuti sempena Aidilfitri ini.

"Para pengguna lebuh raya disaran untuk menyemak jadual tersebut bagi memastikan perjalanan lebih selesa, selamat dan efisien," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan
Radzimah (dua dari kiri) turun padang mengacau bubur lambuk. Foto Anih Berhad

Ujarnya, Anih Berhad juga mengambil langkah lain antaranya penambahan kakitangan tol sebanyak 23 peratus iaitu lebih 400 kakitangan tol akan bertugas di waktu-waktu puncak bagi melancarkan aliran trafik di plaza tol.

Jelas beliau, lorong tol tambahan akan diaktifkan sekiranya berlaku peningkatan trafik.

"Bagi mengoptimumkan pengurusan trafik di plaza tol, Kawasan Rehat & Rawat (R&R) dan hentian sebelah, seramai 217 ahli Rela akan ditempatkan di kawasan strategik terutamanya waktu-waktu puncak.

"Penambahan sebanyak 20 peratus, iaitu 147 orang kakitangan bahagian trafik akan ditempatkan di Pusat Kawalan Trafik (TCC), LPT Ronda, pasukan trafik dan trak tunda untuk membuat pemantauan, rondaan, bantuan kecemasan dan kemalangan kepada pengguna lebuh raya sepanjang 24 jam," tambah Radzimah.

Tambahnya, pihak Anih juga telah melaksanakan 'lane channelisation' di Plaza Tol Gombak arah Barat untuk perjalanan ke Kuala Lumpur bertujuan untuk menyuraikan trafik dan mengelakkan kesesakan bagi pengguna yang menuju ke arah Ampang dan Batu Caves.

"Bagi pengguna yang ingin menuju ke Ampang disaran untuk menggunakan lorong kiri sebelum Plaza Tol Gombak.

"Untuk pengguna yang ingin menuju ke Batu Caves, disarankan untuk menggunakan lorong kanan sebelum plaza tol tersebut," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya telah turun padang membuat penyediaan dan agihan bubur lambuk serta sumbangan wang tunai kepada 10 surau dan masjid di Pahang untuk penyediaan moreh.

"Selain itu, kita juga memberikan sumbangan pembelian pakaian hari raya kepada empat buah rumah anak yatim sekitar Pahang baru-baru ini," katanya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28