Minta PM campur tangan isu harga padi rendah

Iklan
Suee Lim (tengah) bersama-sama pesawah pada sidang akhbar di Kompleks Beras Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Seri Tiram Jaya Tanjong Karang pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta campur tangan dan menyelesaikan segera isu harga padi yang rendah di Anjung Utara Selangor (Sekinchan) dan kawasan Sawah Sempadan.

Penyelaras Parlimen Tanjong Karang, Datuk Ng Suee Lim berkata, harga belian padi oleh pengilang di kawasan itu terlalu rendah hingga menjejaskan pendapatan pesawah lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, harga belian didapati berbeza pada musim penuaian iaitu pada harga RM1,600 merosot kepada RM1,450 tan metrik.

"Pesawah merungut kerana tiba-tiba harga belian padi jatuh dengan begitu ketara hingga menyebabkan mereka berasa tidak puas hati," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Beras Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Seri Tiram Jaya Tanjong Karang di sini pada Jumaat.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diminta menyelaraskan harga belian padi di semua kawasan seluas 18,000 hektar berkenaan.

Suee Lim yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan berkata, keadaan itu jika tidak ditangani segera dibimbangi menyebabkan pendapatan kira-kira 9,000 pesawah di kawasan itu terjejas teruk terutama dalam keadaan kos input pertanian semakin meningkat.

Iklan

Kata beliau, terdapat juga pesawah berdepan kemerosotan pengeluaran hasil hingga ada di antara mereka hanya memperoleh tiga tan metrik sehektar pada musim penanaman kali ini.

"Masalah kemerosotan ini disebabkan faktor musim panas luar biasa hingga menyebabkan hasil pengeluaran merosot," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya kerajaan menyemak semula harga beras putih tempatan (BPT) yang kekal pada RM26 setiap 10 kilogram (kg) sejak 2008.

Suee Lim memberitahu, harga itu dianggap terlalu rendah hingga menyebabkan pengilang terpaksa menanggung kerugian.

"Harga siling BPT sewajarnya dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM34 bagi 10kg bagi menjamin masa depan rantaian pengeluaran makanan ruji ini.

"Pengilang tidak dapat menawarkan harga belian padi lebih munasabah kepada pesawah dan menjual pada harga RM26 untuk setiap 10kg.

"Ini menyebabkan pengilang terpaksa mengehadkan penjualan BPT, sedangkan jika mereka menjual BPI boleh mencecah antara RM36 hingga RM40 setiap 10kg.

"Satu solusi menang-menang harus difikirkan kerajaan dan sudah sampai masanya harga BPT ini disemak segera supaya diapungkan.

"Saya sendiri telah menghantar surat kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyuarakan kebimbangan pesawah berhubung masalah tersebut," tambah beliau.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan, kira-kira 800 pesawah di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang menuntut kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,350 kepada RM1,600 setiap tan metrik.

Selain itu, mereka turut mendesak kerajaan menetapkan pemutuan potongan padi 17 peratus berbanding 20 peratus ketika ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28