KOTA BHARU - Sumbangan MyCare dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dapat meringankan beban seramai 21 pemandu teksi yang beroperasi di Terminal Bas Lembah Sireh di sini.
Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi/Kereta Sewa Terminal Bas Tesco Kelantan, Azmi Mohd Zain mendakwa, pendapatan mereka merudum sejak awal Ramadan lalu berikutan kekurangan penumpang dari terminal bas ekspres itu.
Menurut beliau, ada pemandu teksi yang hidup daif dalam tempoh itu.
"Bagaimanapun, keadaan akan berubah lima hari sebelum hari raya kerana ramai perantau yang pulang ke kampung menggunakan perkhidmatan bas ekspres," katanya.
Azmi berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Program Sentuhan Kasih Ramadan 2024 DUN Kota Lama di sini pada Jumaat.
Beliau memberitahu, walaupun ketika itu ramai yang memerlukan perkhidmatan teksi tetapi mereka tidak dapat banyak trip kerana kesesakan lalu lintas melampau.
Jelasnya, berdasarkan pengalaman setiap kali menjelang musim perayaan, perjalanan akan menjadi lebih lama untuk ke destinasi pilihan penumpang.
"Sebagai contoh, kami mengambil masa lebih dua jam untuk sampai ke bandar Kubang Kerian yang jaraknya kira-kira 13 kilometer (km) dari terminal bas dan lebih satu jam untuk sampai ke bandar Wakaf Che Yeh yang hanya 5km sahaja," katanya.
Sementara itu, pemandu teksi, Shahimi Che Yan, 33, mengakui ada masanya dia hanya pulang dengan 'tangan kosong' kerana ketiadaan penumpang.
Shahimi memberitahu, sumbangan berkenaan dapat membantu meringankan bebannya yang menanggung empat anak serta isteri.
"Saya juga belum membuat sebarang persiapan hari raya berikutan kekangan kewangan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim memberitahu, pihaknya memahami kesukaran yang dialami pemandu teksi terbabit.
"Sumbangan barangan dapur itu diharap dapat menceriakan mereka sekeluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28