TAIPEI - Dua mayat ditemukan dalam keadaan separuh tertimbus di bawah timbunan batu di Denai Shakadang, Taman Negara Taroko pada Jumaat dan pasukan penyelamat meneruskan pencarian empat lagi yang hilang sepanjang denai itu sejak gempa bumi Rabu lepas.
Mayat seorang lelaki dan seorang wanita itu ditemukan di penanda 0.5 kilometer denai itu, yang merupakan satu daripada dua lokasi yang rosak akibat gelongsor batuan, kira-kira 9.25 pagi Jumaat, menurut Central News Agency (CNA).
Pasukan penyelamat berkata, usaha masih diteruskan untuk mengeluarkan mereka daripada timbunan batu di denai itu.
Mereka merupakan antara enam yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarga sejak Rabu.
Chen Yi-feng yang mengetuai Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat daripada Agensi Kebakaran Nasional berkata penyelamat menggunakan anjing dan alat pengesan mangsa untuk membantu pencarian mereka berhampiran permulaan denai pada pagi Jumaat selepas dua hari pulang dengan tangan kosong.
Setakat tiga petang Jumaat, tinggal 13 lagi yang masih belum ditemukan selepas gempa bumi di Taiwan, menurut Pusat Operasi Kecemasan (CEOC).
Daripada jumlah 13 orang itu, CEOC berkata tiga daripada mereka ialah rakyat asing, seorang rakyat Kanada dan dua orang lagi dari Singapura yang memegang pasport Australia.
Ia juga berkata 671 orang pada masa ini terperangkap dalam kawasan Tianxiang dan mereka tidak dapat keluar kerana satu-satunya laluan yang menghubungkan tempat itu Lebuhraya Wilayah No.8 tersekat di kedua-dua arah.
Antara 671 orang yang terperangkap itu, 508 berada di hotel, 29 berlindung di Gereja Katolik Tianxiang dan 84 lagi berada di Sekolah Rendah Sipaw, barat laut Tianxiang.
Gempa bumi yang terkuat melanda Taiwan dalam tempoh hampir 25 tahun itu setakat ini mengorbankan 10 orang (tidak termasuk dua mayat ditemukan di Shakadang) dan 1,115 orang lagi cedera. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28