PERASAAN teruja dan gembira dapat dilihat melalui wajah-wajah 64 orang non-Muslim apabila mereka merasai sendiri pengalaman berbuka puasa bersama umat Islam di Masjid Abidin (Masjid Negeri), Kuala Terengganu pada Isnin.
Ketua Eksekutifnya, Ustaz Wan Mohd Hazim Mohamed@Wan Mohd Hashim berkata, program Iftar Muhibbah bersama non-Muslim itu mencapai matlamatnya selepas menerima dapatan daripada peserta yang hadir.
"Melalui program ini juga kita berpeluang mewar-warkan kepada mereka bahawa masjid bersikap terbuka untuk semua golongan termasuk non-Muslim.
"Jika mereka masuk ke dalam masjid, mereka akan dimarahi atau dihalau. Kesempatan yang ada kita terangkan kepada mereka fungsi sebenar masjid dan tiada halangan untuk non-Muslim hadir ke masjid,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus.
Tambah Wan Mohd Hazim, persepsi mereka yang menyangka rumah ibadat umat Islam sama seperti rumah ibadat mereka juga berjaya dibetulkan.
"Program ini berjaya membetulkan persepsi mereka terhadap masjid sebelum ini dan kita harap program seumpama ini yang telah dilaksanakan sejak 2016 ini berterusan dalam usaha melahirkan masyarakat harmoni,” katanya.
Program dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Terengganu dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Terengganu itu disertai peserta pelbagai agama termasuk Buddha, Hindu, Kristian dan Bahai.
Turut hadir dalam program berkenaan, Pengerusi Macma Terengganu, Datin Norhana Abdullah Ng; Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Abidin, Datuk Dr Syed Mohammad Salleh Syed Yusof Al Zawawi dan Pengarah Yadim Terengganu, Ustaz Nasrul Hadi Saidin.
Dalam program tersebut juga, peserta turut diberi penerangan mengenai ibadah puasa yang dilaksanakan umat Islam terutamanya puasa wajib selama sebulan pada Ramadan.