KUALA LUMPUR - Susulan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat dan amaran keras daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, Israel mengumumkan pembukaan laluan untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Langkah itu berikutan kecaman yang semakin meluas, termasuk daripada sekutu rapat Israel, AS selepas serangan ke atas kenderaan badan kebajikan berpangkalan di Amerika Syarikat World Central Kitchen (WCK) meragut tujuh nyawa petugas bantuan kemanusiaan.
Bahkan Perdana Menteri United Kingdom, Rishi Sunak menggesa supaya satu siasatan bebas terhadap serangan yang mengorbankan warganegara AS dan British yang merupakan antara tujuh petugas yang maut.
Pengumuman dari Israel itu termasuk membenarkan laluan sementara bantuan kemanusiaan disampaikan menerusi pelabuhan Ashdod dan pusat pemeriksaan Erez.
Kerajaan Amerika Syarikat menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Israel, Jordan, Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta organisasi kemanusiaan bagi memastikan pelaksanaan berkesan dan peningkatan bantuan yang sampai kepada orang ramai di Gaza.
Sementara itu dengan pembukaan laluan itu, Malaysia juga sedia untuk menghantar bantuan tambahan dengan misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia sudah berada dalam keadaan siap sedia di sempadan Rafah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata: ”Insya-ALLAH, kami akan bantu kerana kami masih ada lagi peruntukan, beratus-ratus lori berbaris (membawa bantuan), jadi selesaikan yang itu dahulu, supaya pengagihan bantuan lebih tersusun.”
Anwar berkata demikian kepada wartawan selepas selesai menunaikan solat Jumaat bersama 2,000 jemaah di Masjid Al-Huda Sungai Ara, Bayan Lepas Pulau Pinang.
Malaysia juga mengecam serangan Israel ke atas petugas bantuan kemanusiaan WCK dan kekecewaan di atas penggantungan operasi WCK akibat serangan itu.
Perkembangan selepas serangan ke atas WKC mencetuskan perbincangan di platform media sosial dengan ramai yang memerhatikan tindakan pantas selepas amaran Biden.
Bekas Pengarah Eksekutif Human Right Watch, Kenneth Roth menekankan kelebihan yang ada di tangan Biden tetapi tidak digunakan pada awalnya sementara yang lain seperti Mohammed Al Saif menonjolkan kesan potensi campur tangan lebih awal.
Pengarah Pusat Kajian Hegemoni Balas Tim Anderson berkata, tekanan ke atas rejim aparteid itu membawa kepada kebenaran sementara penghantaran bantuan kemanusiaan menerusi laluan Erez.
Keadaan di Gaza kekal meruncing dengan serangan tentera Israel sejak Oktober lepas mengakibatkan puluhan ribu korban dan kemusnahan pada skala besar.
Sekatan yang dikenakan Israel memburukkan lagi krisis kemanusiaan mengakibatkan penduduk Gaza mengalami kelaparan sehingga mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas pertuduhan melakukan genosid.
Menurut Agensi Anadolu, tentera Israel melakukan serangan ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas dan lebih daripada 33,000 warga Palestin maut dan 75,577 orang cedera selain daripada kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar dan kekurangan barangan keperluan yang akut. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!