Statistik 8 daerah termiskin di Sabah berdasar rekod tiga tahun lalu

Iklan
Hajiji (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua Menteri di pekarangan Masjid An-Nur, Tuaran.

TUARAN - Statistik kemiskinan tegar lapan daerah termiskin di Sabah, termasuk Tuaran yang dilaporkan sebelum ini dibuat berdasarkan rekod tiga tahun yang lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jika diambil kira rekod terbaharu pada tahun ini statistik ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di daerah berkenaan sudah jauh berkurang.

Iklan
Iklan

Katanya, bagi daerah Tuaran saja rekod terkini setakat bulan lalu hanya ada lebih 600 KIR miskin tegar berbanding kira-kira 1,000 KIR yang dilaporkan tiga tahun lalu.

Menurut beliau, penurunan itu adalah hasil usaha dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya dalam memerangi kemiskinan tegar sepanjang kira-kira tiga tahun memerintah negeri.

Iklan

"Sekarang pembangkang guna isu Tuaran daerah termiskin di Sabah, tapi saya mahu jelaskan itu ialah ukuran tiga tahun yang lalu. Saya dimaklumkan ada 1,000 lebih KIR miskin tegar di Tuaran pada masa itu.

"Tetapi, yang terbaharu sekarang ini saya dimaklumkan bahawa jumlah KIR miskin tegar sudah berkurang kepada 600 lebih saja di Tuaran.

Iklan

"Maknanya, kerajaan memandang serius masalah kemiskinan tegar dan berusaha membantu golongan itu melalui pelbagai cara, bukan saja bantuan rumah, malah dibantu dengan memulakan perniagaan kecil-kecilan supaya statistik mereka dapat diturunkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri di Masjid An-Nur di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan lapan daerah termiskin di Sabah ketika ini terdiri daripada daerah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.

Tambah Hajiji, statistik keseluruhan jumlah KIR di Sabah setakat 24 Mac lalu pula hanya seramai 13,172 KIR, berbanding 22,510 KIR yang dilaporkan tiga tahun lalu.

"Ini bermakna kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan ini adalah keutamaan kita. Dalam kita merancang pembangunan besar, kita tidak lupa golongan miskin tegar.

"Kita ada sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang ditugaskan menangani isu kemiskinan di Sabah. Antaranya melaksanakan pembinaan Rumah Mesra SMJ yang mana, dua tahun berturut-turut kita beri 1,500 rumah setahun kepada mereka yang tersenarai dalam e-Kasih.

"Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan 20 rumah, jadi sekarang ini sudah ada 3,000 rumah diberi kepada golongan miskin tegar yang ada dalam senarai e-Kasih,” katanya.

Katanya, perkara itu antara usaha yang dilaksanakan kerajaan, namun pembangkang hanya pandai bercakap untuk memburukkan usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus.

Malah Hajiji mendakwa, segelintir pemimpin pembangkang di Sabah yang pernah bersama dalam kerajaan sebelum ini hanya mahu membolot jawatan.

"Saya tidak mahu menyalahkan atau merendahkan kawan kita di sebelah sana (pembangkang), siapa suruh mereka ke sebelah sana, melainkan ada sebab yang saya tidak mahu cakap di sini sekarang.

"Minta jadi Menteri Kewangan dan jawatan lain. Kalau agensi kerajaan yang penting-penting, (jawatan) pengerusinya semua mereka bolot.

"Dulu mereka hingga empat menteri dan enam pembantu menteri sedangkan parti saya sendiri hanya tiga menteri dan tiga pembantu menteri,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak yang dimaksudkan selain menjelaskan bahawa apa yang disebutkan itu adalah fakta bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah mereka.

Hajiji berkata, beliau juga menyedari pembangkang sudah mula mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) berdasarkan serangan demi serangan yang ditujukan kepadanya dan kerajaan.

"Mereka sekarang berhabis-habisan, mereka ingat esok PRN. Lama lagi, hampir dua tahun lagi. Maklumlah mana tahu Ketua Menteri mahu bubar DUN.

"Sebab itulah sekarang kita lihat tidak peduli puasa hentam saja (serang) kerajaan),” katanya.