FABIO Quartararo akan kekal bersama Yamaha sehingga 2026 selepas bekas juara MotoGP itu menandatangani lanjutan kontrak dua tahun, umum pengeluar jentera dari Jepun itu pada Jumaat.
Quartararo memenangi kejuaraan MotoGP bersama Yamaha pada 2021 selepas menggantikan Valentino Rossi pada tahun sama, namun pelumba berusia 24 tahun tersebut sejak itu bergelut ketika pesaing Ducati mendominasi kelas perdana dengan jentera unggul.
Pada 2022, pelumba kelahiran Perancis itu mempersiakan kelebihan 91 mata untuk muncul juara apabila dijinakkan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia.
Tahun lalu pelumba Yamaha itu hanya berjaya meraih tiga podium selain menduduki tempat ke-10 kedudukan terendah dalam kempen kejuaraan.
Sebelum ini terdapat spekulasi Quartararo akan mencari destinasi baharu ketika kontraknya menuju pengakhiran pada penghujung 2024 selepas kecewa dengan prestasi jentera, namun kini telah melanjutkan khidmat bersama Yamaha.
"Musim sejuk lalu Yamaha membuktikan kepada saya bahawa mereka mempunyai pendekatan dan minda agresif baharu. Keyakinan saya tinggi: Kami akan kembali di hadapan bersama-sama,” kata Quartararo.
Sementara itu, pengarah Urusan Yamaha, Lin Jarvis mengakui mengekalkan Quartararo adalah penting dalam projek MotoGP ketika pasukan tersebut bertekad kembali ke landasan kemenangan.
"Kami adalah orang pertama yang mengakui bahawa terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan untuk kembali ke tahap kompetitif seperti pada 2021 dan separuh pertama 2022. Tetapi dengan Fabio anda tahu dia akan sentiasa memberikan 100 peratus usaha terbaiknya..
"Kami juga telah membuat perubahan ketara kepada organisasi termasuk sistem pengurusan dalaman baharu, pengambilan kepakaran tertinggi dalam industri, perkongsian teknikal luaran baharu, peningkatan belanjawan pembangunan dan program ujian yang dipergiatkan,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28