ARSENAL yang berada di kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL), ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, berdepan ujian kelayakan kejuaraan apabila bertandang ke Stadium Komuniti American Express menentang Brighton kendalian Roberto de Zerbi.
Sebagai rekod, sepanjang dii bawah kepimpinan De Zerbi, The Seagulls hanya tewas satu perlawanan liga di laman sendiri pada saingan musim ini.
Pengendali The Gunners, Mikel Arteta memuji pengaruh pengendali kelahiran Itali terhadap kelab pantai selatan itu sambil menambah:"Apa yang mereka lakukan di padang patut dipuji termasuk cara mereka mengendalikan kelab.
"Mereka bertarung dengan kelab-kelab terkemuka dan telah melakukan tugasan yang hebat. Gaya bola sepak menarik mereka ternyata menyukarkan pasukan lawan.
"Ya, kami perlu memilih barisan terbaik, berlatih dan bersedia untuk menang sekali lagi. Tapi Brighton akan menjadikan sukar, mereka bermain dengan baik, tetapi kami perlu lebih baik daripada mereka.”
Sementara itu, peranan dipamerkan Kai Havertz disifatkan aset berharga kepada Arsenal, kata Arteta menjelang kunjungan ke Brighton bagi aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad.
Pemain Jerman itu, yang ditandatangani dari Chelsea dengan harga 65 juta pound, mencipta gol pembukaan Martin Odegaard ketika Arsenal menang 2-0 ke atas Luton Town bagi meningkatkan jaringan ke sembilan gol dan empat bantuan dalam 41 perlawanan dalam semua pertandingan.
Biarpun prestasi Havertz kurang memberangsangkan dari segi jaringan dan hantaran, Arteta mengakui berpuas hati komitmen pemain berusia 24 tahun itu berkata:"Dia mempunyai kualiti luar biasa dalam fasa menyerang serta dalam permainan pautan.
"Sumbangannya dalam aspek pertahanan luar biasa dengan kadar kerja diberikan kepada pasukan. Dia mempunyai lebih banyak masa perlawanan selepas ini dan akan cuba meningkatkan jumlahnya.
"Ini baru musim pertamanya bersama Arsenal dan telah berpindah di posisi berbeza. Dia sangat bijak.”
Liga Perdana Inggeris
Sabtu (6 April)
Crystal Palace lwn Manchester City, 7.30 malam
Wolverhampton lwn West Ham United, 10 malam
Everton lwn Burnley, 10 malam
Aston Villa lwn Brentford, 10 malam
Fulham lwn Newcastle United, 10 malam
Luton Town lwn Bournemouth, 10 malam
Ahad (7 April)
Brighton lwn Arsenal, 12.30 tengah malam
Manchester United lwn Liverpool, 10.30 malam
Isnin (8 April)
Sheffield United lwn Chelsea, 12.30 tengah malam
Tottenham Hotspur lwn Nottingham Forest, 1 pagi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28