PAIP sedia 34 lori tangki, 1,224 tangki statik atasi gangguan bekalan air

Iklan
PAIP menyediakan 1,224 tangki statik dan 34 lori tangki sebagai persediaan jika berlaku gangguan bekalan air ketika Aidilfitri. Gambar hiasan Bernama

KUANTAN - Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyediakan Pelan Kesiapsiagaan dan Operasi Tunggu Sedia sebagai persediaan awal berdepan kemungkinan gangguan bekalan air di negeri ini sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, tempoh efektif pelan kesiapsiagaan itu selama 14 hari bermula 3 hingga 17 April.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 34 lori tangki kini dalam keadaan bersedia untuk agihan bekalan air alternatif sekiranya berlaku gangguan.

"PAIP turut menempatkan 1,224 tangki statik di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi menghadapi gangguan bekalan bermula 3 April lalu.

Iklan

"Sebanyak 30 stesen pengisian disediakan di seluruh negeri sebagai persediaan pengambilan air untuk kegunaan agihan bekalan alternatif oleh lori tangki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, di sini pada Jumaat.

Iklan

Saiful Zaini berkata, pelantikan tunggu sedia kontraktor pembaikan di setiap daerah bagi memastikan insiden luar jangka dapat dibaiki dalam tempoh segera

Saiful Zaini (kanan) menyantuni anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Permata Al Insyirah yang turut diraikan pada majlis berbuka puasa bersama media di sini pada Jumaat.

"Penyediaan generator dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi loji rawatan air (LRA) yang berada dalam kawasan berisiko tinggi terputus bekalan elektrik ketika musim perayaan ini antara pelan tunggu sedia yang dilaksanakan," katanya.

Saiful Zaini berkata, beberapa kawasan dijangka akan mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah berikutan berlaku peningkatan mendadak penggunaan air sepanjang musim perayaan ini terutama di kawasan Felda dan kampung tradisional.

"Bagaimanapun, melalui persediaan awal ini, pihak Paip optimis dapat menghadapi kemungkinan gangguan dengan lebih baik melalui tindakan pantas kakitangan bertugas bagi mengelak kesulitan dihadapi pengguna," katanya.

Sementara itu, katanya, tiga kerangka strategi utama telah digariskan bagi pelaksanaan Pelan Kesiapsiagaan dan Operasi Tunggu Sedia PAIP itu.

"Bermula Januari lalu, beberapa penyelenggaraan pencegahan telah dibuat berdasarkan keperluan operasi di semua LRA bagi persediaan menghadapi musim perayaan Aidilfitri dan juga musim kemarau.

"Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk kerja-kerja pencucian muka sauk di 20 lokasi dengan kos RM 350,000 bagi memastikan bekalan sumber air mentah tidak terjejas berikutan musim kemarau dan bekalan air terawat yang dihasilkan tidak berbau atau berwarna kotor," jelasnya.

Saiful Zaini berkata, pihaknya turut menjalankan penyelenggaraan peralatan mekanikal seperti baik pulih peralatan pam dan penyediaan pam tunggu sedia dengan kos keseluruhan RM1 juta.

"PAIP juga menyediakan 44 pam pontoon berharga hampir RM8.5 juta bagi memastikan LRA terus beroperasi ketika berlaku penurunan paras sumber air mentah berikutan musim kemarau yang melanda kini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Saiful Zaini meminta pengguna agar menggunakan air secara berhemat dan melakukan persediaan dengan menyediakan bekalan air secukupnya bagi kegunaan musim perayaan.

Beliau berkata, sekiranya berlaku gangguan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (Pulapel) melalui talian 09-5739999 yang akan beroperasi selama 16 jam bermula 7 pagi hingga 11 malam setiap hari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28