KOTA BHARU - Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memakai pakaian tebal dan ketat ketika melakukan aktiviti luar kerana ia menghalang haba keluar daripada penyejatan peluh berikutan cuaca panas ketika ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, situasi lebih teruk boleh berlaku sehingga menyebabkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri (koma) dengan beberapa gejala seperti sakit kepala, pening, lemah otot atau kekejangan selain mengalami mual dan muntah.
"Jika mempunyai gejala berkaitan suhu panas, individu terbabit perlu segera keluar daripada kawasan panas, tanggalkan pakaian yang ketat, letakkan kain basah dan sejuk pada badan.
"Gunakan kipas untuk sejukkan badan, minum air setiap 15 minit dan dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.
Dr Zaini berkata, antara golongan berisiko menjadi mangsa cuaca panas adalah individu yang terlibat dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera dan polis.
"Selain itu, orang dewasa (berumur 40 tahun ke atas) mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding mereka yang lebih muda, serta penghidap penyakit sistem pernafasan, darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.
"Oleh itu, cara mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas melampau adalah perlu minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal dilakukan, hadkan aktiviti luar, kerap berehat, mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan," katanya.
Semalam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan satu kes kematian baharu akibat strok haba dilaporkan berlaku minggu ini menjadikan kes kematian berkaitan cuaca panas kepada dua orang.
Kematian pertama melibatkan individu berumur 22 tahun di Pahang pada 2 Feb, manakala mangsa kedua melibatkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Kelantan yang meninggal dunia pada Isnin lepas. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28