NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres pada Jumaat melantik bekas Menteri Luar Australia, Julie Bishop sebagai Utusan Khas PBB ke Myanmar, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Bishop, yang berkhidmat sebagai menteri luar Australia dari 2013 hingga 2018, menggantikan Diplomat Singapura Noeleen Heyzer, yang meletak jawatan pada Jun.
Junta Myanmar menggulingkan ketua kerajaan de facto, Aung San Suu Kyi, dalam rampasan kuasa ganas pada Februari 2021. Junta telah mengenakan pemerintahan kejam ke atas negara berkenaan sejak itu.
Pada Februari, Junta mengumumkan ia akan menguatkuasakan draf undang-undang ketenteraan wajib. Menurut tentera, undang-undang itu membabitkan sekitar 14 juta warganegara: 6.3 juta lelaki dan 7.7 juta wanita.
Myanmar yang dahulunya dikenali sebagai Burma, mempunyai penduduk sekitar 55 juta.
PBB berkata, 2.8 juta orang telah kehilangan tempat tinggal di negara itu, 90 peratus sejak pengambilalihan tentera. Kelaparan semakin meningkat dan terdapat risiko kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak dan wanita hamil.
Pada 2024, PBB berkata, 18.6 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan di seluruh negara. - Bernama-dpa
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28