IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengarahkan semua penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengeluarkan terus kompaun kepada mana-mana individu yang membuang sampah di tepi jalan sempena musim perayaan.
Menterinya, Nga Kor Ming menyifatkan perbuatan membuang sampah merata-rata itu sebagai perbuatan tidak bertamadun yang menyusahkan semua orang.
Jelas beliau, sampah sepatutnya dibuang di tempat yang betul iaitu di dalam tong sampah bukan di tepi jalan.
"Ini bukan lagi zaman batu, ini adalah abad ke-21, kita semua pergi sekolah, kita semua ada pendidikan sivik, maka tanggungjawab semua pihak untuk menjaga kebersihan awam bukan sahaja kita serah kepada pekerja-pekerja PBT," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang di sebuah pusat beli-belah, di sini pada Sabtu.
Kor Ming berkata, semua pihak mempunyai tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran dan bukan individu tertentu.
Jelasnya, orang ramai digesa menyambut hari raya dengan penuh adab dan sopan serta perasaan bertanggungjawab.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil oleh PBT terhadap mana-mana individu yang membuang sampah merata-rata terutama di tepi jalan.
Beliau menasihati pengguna jalan raya supaya menyimpan sementara sampah di dalam kenderaan sebelum membuang di tempat yang sepatutnya.
Sementara itu, Kor Ming menjelaskan menjelang Hari Raya Aidilfitri, pihaknya telah menggerakkan hampir semua jentera bagi memastikan kebersihan awam pada tahap terbaik memandangkan jumlah sisa pepejal sempena hari perayaan akan bertambah.
Terdahulu menerusi aplikasi X, Ahli Parlimen Teluk Intan itu meluahkan rasa kesal terhadap tabiat buruk segelintir individu yang membuang sampah sepanjang jalan sambil memuat naik gambar milik Alam Flora menunjukkan pekerja sedang membersihkan Lebuhraya Kuala Lumpur - Gua Musang berhampiran Padang Tengku, Pahang.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28