Ubi kayu alternatif sumber karbohidrat ganti beras

Iklan
Johari (kanan) semasa meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana, Sungai Petani pada Sabtu.

SUNGAI PETANI - Sumber karbohidrat seperti ubi kayu boleh dijadikan sebagai alternatif sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) dapat diselesaikan di negara ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, rakyat perlu melakukan perubahan dengan tidak hanya bergantung kepada nasi sebagai sumber utama karbohidrat.

Iklan
Iklan

"Kalau beras menjadi isu, apa tujuan beras kita makan.Tujuan untuk mendapatkan karbohidrat. Saya merasakan ada tak alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras.

"Contoh saya pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak. Sarawak tanam ubi kayu yang digunakan sebagai makanan tambahan, sebab ubi kayu ini khasiatnya hebat dibandingkan dengan gula yang ada dalam beras, ubi kayu jauh lebih rendah," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana di sini.

Turut hadir, Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Iklan

Jelas Johari, ubi kayu boleh dipertimbangkan sebagai langkah bagi mengatasi kekurangan bekalan BPT di negara ini sekarang.

Tambahnya, Malaysia mempunyai potensi sangat besar untuk mengeluarkan sumber makanan sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan import.

"Sudah sampai masanya Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka pintu untuk rakyat mengusahakan tanah terbiar, menanam pelbagai sumber makanan seperti sayur-sayuran.

"Apabila penawaran banyak sudah tentu harga akan turun, kita harus ada keberanian untuk mencuba,kadang-kadang kebergantungan kita kepada makanan dari luar negara ini amat hebat.

"Kira-kira setahun lalu kita import dalam bajet hampir RM60 bilion. Ini satu jumlah yang besar, tetapi baru-baru ini di Perak, terbukti kita boleh tanam bawang," katanya lagi.

Pada 31 Mac lalu, media melaporkan BPT masih tidak kelihatan dalam pasaran, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengarahkan stok bekalan barang keperluan itu diedarkan ke seluruh negara.

Menurut Syed Abu Hussin, dalam tinjauannya ke tiga pasar raya di Kota Kemuning, Shah Alam sebelum ini pihaknya mendapati hanya beras putih import (BPI) yang dijual.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28