SHAH ALAM -"Pertama kali sejak 11 tahun memberi kepada penduduk di Gaza, anak-anak saya pula terpaksa menerima ihsan diberikan bantuan pakaian untuk menahan tubuh daripada menggeletar kesejukan dan menerima pek makanan supaya tidak kelaparan."
Demikian luahan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengenai perkembangan terkini keluarganya di Gaza.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada masa ini keluarganya yang berlindung di Rafah tidak lagi mempunyai sebarang harta dan hanya mendapatkan bantuan ihsan sedangkan selama ini mereka yang menjalankan gerak kerja menghulurkan sumbangan.
"Sejak minggu kedua genosid bermula lagi, keluarga saya terpaksa berpindah-randah dari rumah ke rumah. Di bandar Gaza berpindah tiga, empat kali sebelum berjalan berjam-jam ke Khan Yunis di selatan sebelum berpindah pula ke Rafah.
"Kemudian kami dimaklumkan pula bahawa rumah kami di bandar Gaza dimusnahkan kerana dijadikan pengkalan penjajah beroperasi. Segala harta kami dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digeledah dan dicampak, semua kenangan serta memori dikoyak rabak," katanya pada Jumaat.
Ujar Muhammad Nadir Al-Nuri, biarpun begitu, ia tidak sesekali melemahkan pasukan NGO beliau untuk terus memberikan bantuan kepada rakyat Palestin yang masih ditindas tentera penjajah rejim Zionis.
Tambahnya, walaupun hanya tinggal kenderaan yang berlubang-lubang akibat serpihan letupan, dia dan keluarga reda serta pasrah atas segalanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai memikirkan seketika nasib dialami rakyat Palestin ketika ini yang kehilangan segala-galanya.
"Saya masih meneruskan peranan membantu penduduk yang sangat memerlukan dengan mengabaikan keperluan keluarga. Alhamdulillah, puluhan juta ringgit dapat kita kumpulkan untuk ummah lemah yang dizalimi.
"Anak-anak yang perlu kembali ke sekolah dan universiti tatkala perang tamat, isteri yang masih dengan pengajian Doktor Falsafah (PhD). Rumah yang perlu diisi semula setelah dikosongkan, pakaian dan keperluan harian, wang yang disimpan untuk anak-anak berkahwin dan membina semula masa depan. Semuanya musnah sekelip mata," katanya.
Sementara itu, menurut Muhammad Nadir Al-Nuri, dalam tempoh tiga minggu Ramadan ini sebanyak RM1.3 juta berjaya dikumpulkan sekali gus mencapai sasaran menjadikan keseluruhan kira-kira RM7 juta sumbangan untuk Gaza.
"Alhamdulillah, semuanya berkat sokongan dan sumbangan kalian. Selesai tak bermaksud habis, tetapi sekurang-kurangnya ada hak lain yang boleh saya letakkan sekejap di hadapan. Hak keluarga khususnya yang telah diabaikan sejak awal perang meletus," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!