KUALA SELANGOR - Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menjalankan kempen memboikot kedai serbaneka KK Super Mart bukan dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara itu biasa dan ia bukanlah kesalahan yang menyalahi undang-undang kepada Muhamad Akmal.
"Boikot ini bukan satu kesalahan jenayah, namun apa yang boleh sekiranya KK Mart saman dia (Muhamad Akmal) secara peribadi.
"Kalau hanya sekadar mengeluarkan kenyataan memboikot, apa salahnya? Kecuali kalau orang masuk KK Mart itu kena pukul," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Anak-Anak Yatim di Gelanggang Futsal Taman Desa Mawar di sini pada Sabtu.
Noh yang juga pengamal undang-undang memberitahu, beliau secara peribadi mengagumi keberanian Muhamad Akmal mengenai gesaan memboikot KK Mart yang terpalit isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH.
Malah, katanya, beliau terkejut mengetahui berkaitan penahanan Muhamad Akmal pada Jumaat.
"Kenapa emergency (kecemasan) sangat tahan dia. Saya tidak mempersoalkan tugas polis namun rakyat akan menilai di mana keadilan kepada rakyat.
"Saya menyokong dan kagum dengan Muhamad Akmal sebagai pemimpin muda yang berprinsip.
"Jika bab berkaitan Islam, kita kena tegas dan ketepikan soal parti apatah lagi perjuangan itu berkaitan kalimah ALLAH," tambah Noh.
Sementara itu, Ketua Penerangan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Syazwani Noh berkata, pihaknya turut menyatakan sokongan dan solidariti merentasi parti bersama Muhamad Akmal.
Tegas beliau, sebagai pemimpin dalam kalangan golongan muda, beliau bersetuju dengan ketegasan Muhamad Akmal memperjuangkan isu agama, bangsa dan tanah air (ABATA).
"Saya mengecam sekerasnya apa jua tindakan yang menyentuh sensitiviti itu dan bertekad memikul tanggungjawab mempertahankan ideologi nenek moyang kita sejak dahulu," jelasnya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Jumaat mengesahkan penahanan Muhamad Akmal bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Exco Melaka itu ditahan sepasukan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH.
Selepas lebih tiga jam ditahan, Muhamad Akmal dibebaskan jam 2 petang dan bertekad untuk terus berjuang mengenai kebenaran demi agama dan ummah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!