Naikkan harga lantai padi, benih elak manipulasi bekalan - LPP

Iklan
Mahfuz (tengah) pada sidang media selepas merasmikan program Jualan Agro Madani Mega Raya di Dataran Jalan Istana Lama pada Sabtu.

ALOR SETAR - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mencadangkan harga lantai padi dan benih padi dinaikkan serta harga siling beras import ditetapkan bagi mengelakkan manipulasi bekalan bahan itu.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan kerajaan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang menurunkan harga jualan runcit beras putih import (BPI) antara RM2 hingga RM3 di pasaran disifatkan langkah jangka pendek.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, beliau berpandangan, kerajaan perlu menyelesaikan isu harga padi dan beras untuk jangka masa panjang supaya pengilang tidak mengambil kesempatan memanipulasi bekalan itu

"Apa yang berlaku mereka tak boleh keluarkan (atau) tidak boleh beroperasi iaitu hendak proses beras putih tempatan (BPT) sebab beli padi pun dah mahal dan nak jual beras dengan harga RM26, sudah tidak boleh sebab sudah makan modal," katanya.

Iklan
Mahfuz (tiga,kiri) menyerahkan geran kepada penerima pada program Jualan Agro Madani Mega Raya di Dataran Jalan Istana Lama pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jualan Agro Madani Mega Raya di Dataran Jalan Istana Lama, di sini, pada Sabtu.

Disebabkan itu, beliau berkata, pihaknya mencadangkan harga lantai padi juga perlu dinaikkan untuk melindungi golongan petani.

Iklan

"Jadi, kilang tak boleh beli bawah daripada harga tersebut iaitu harga untuk kehidupan dan juga keuntungannya,"katanya.

Mahfuz berkata, petani juga perlu bersedia untuk berhadapan dengan kenaikan harga benih padi apabila mereka mengharapkan peningkatan terhadap harga belian padi.

"Apabila mereka hendak harga padi itu tinggi, harga benih juga mesti tinggi. Jikalau tidak nanti orang tak mahu buat padi benih. Harga benih mesti lebih RM100 atau RM200 daripada harga padi untuk buat beras,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Mahfuz memberitahu, LPP turut mencadangkan kerajaan menetapkan harga siling beras import demi mengelakkan pengilang memanipulasi bekalan barangan itu.

"Puncanya adalah kerana harga beras import tidak ada harga siling, jadi menyebabkan pengilang-pengilang ini melakukan manipulasi.Jadi, kita minta adakan harga siling kepada beras import," katanya.

Beliau berkata, langkah berkenaan dapat mengelakkan berlakunya perlumbaan antara pengilang untuk pembelian padi secepat mungkin.

"Misalnya berkaitan benih padi mesti diselesaikan dalam tempoh terdekat sebelum penanaman padi musim seterusnya yang akan bermula lepas raya ni.

"Sementara isu berkaitan harga belian padi yang perlu dinaikkan mesti diselesaikan sebelum kita memasuki musim menuai padi akan datang,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!