SHAH ALAM - Kempen boikot yang dilancarkan sesetengah pihak tidak sepatutnya berpanjangan sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni dan mengakibatkan perpecahan kaum di negara ini.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, situasi itu bertambah buruk apabila tindakan tersebut mempengaruhi tindakan ekstrem sehingga melakukan khianat yang mengancam keselamatan orang lain.
"Ini adalah tanah air kita, di mana tempat kita berpijak, membina keluarga, bersahabat dan bersaudara.
"Kita mungkin berbeza agama, kaum, budaya dan bahasa tetapi perbezaan inilah keunikan serta kekuatan menjadikan #KitaLahMalaysia.
"Jangan biarkan teknologi dan laman sosial membakar keharmonian rakyat Malaysia dan seharusnya kita yang menguasai laman sosial, bukan sebaliknya. Marilah kita bersama menjadi ejen Malaysia Harmoni," katanya dalam reaksi kempen #MZB365 pada Sabtu.
#MZB365 merupakan gerakan bersama lima media tempatan yang dipelopori gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO).
Sementara itu Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismai menegaskan, sudah tiba masanya rakyat Malaysia memperingati kekuatan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menerusi amalan 'Maaf Zahir Batin 365, beliau mengajak untuk bersama melenyapkan kebencian, memperkukuh kefahaman serta hormat-menghormati selain tidak mendustai nikmat kedamaian yang dikecapi.
"Kesatuan serta muafakat dalam kepelbagaian budaya dan bangsa menjadi ramuan tertegaknya ‘tiang seri’ kedamaian dan kesejahteraan Malaysia," ujarnya.
Dalam pada itu Ketua Pegawai Kandungan The Star, Esther Ng berkata, #MZB365 menjadi platform sesuai untuk media menunjukkan kesepakatan, membela keharmonian, keamanan dan pemikiran rasional.
"Saya bangga menjadi antara media yang lantang menyuarakan mesej perpaduan menerusi saluran kami. Kita semua menuju arah sama, dalam bot yang sama. Mari kita lakukan bersama," menurutnya.
Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang pula berkata, menlindungi elemen kepelbagaian budaya Malaysia adalah prinsip utama Sin Chew Daily dan menjadi panduan utama pihaknya dalam dasar-dasar editorial
Beliau berharap agar masyarakat dapat berganding bahu mempromosikan #MZB365, iaitu menormakan budaya Maaf Zahir Batin sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28