NABAWAN - Jalan raya rosak, sempit dan tidak berturap antara punca jentera pasukan bomba tidak dapat masuk ke lokasi untuk memadamkan kebakaran di Kampung Tikandis, Jalan Sepulut, Sook, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, sebanyak 14 kediaman termasuk dua rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) hangus sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, seramai sembilan anggota bomba dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 89 kilometer.
"Jentera tidak sampai ke lokasi kebakaran kerana keadaan jalan raya yang rosak, sempit dan tidak berturap.
"Pasukan bomba hanya masuk menggunakan pacuan empat roda dan operasi memadamkan kebakaran hanya menggunakan pam mudah alih dan sumber air terbuka dari tangki serta sungai berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, api berjaya dikawal pada jam 11.30 pagi dan operasi memadamkan bara diteruskan bagi mengelak ia merebak.
"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.30 petang dan hasil pemeriksaan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!