JOHOR BAHRU - Polis Johor menjangkakan kenderaan yang memasuki negeri ini, termasuk dari Singapura akan meningkat lebih 300,000 sehari bermula Sabtu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kesesakan dan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya dan jalan-jalan negeri akan berlaku susulan anak perantau mula pulang ke kampung dan cuti serentak di Singapura.
"Biasanya purata kenderaan harian yang melalui lebuh raya kira-kira 100,000 kenderaan sehari.
Beliau berkata demikian pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sempena Op Selamat Hari Raya Aidilfitri, di Plaza Tol Kempas di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang.
Kumar berkata, sebanyak 48 'hotspot' (kawasan sering berlaku kemalangan) dan 31 'blackspot' (kawasan kerap berlaku kemalangan maut) telah dikenal pasti di seluruh negeri.
"Seramai 1,730 pegawai dan anggota trafik akan membuat pemantauan di jalan-jalan utama seluruh negeri, khususnya di lokasi titik panas dan kawasan dijangka berlaku peningkatan kenderaan.
"Antara kawasan terbabit ialah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri dan Johor Bahru dan Kota Tinggi," katanya.
Sementara itu, Kumar memberitahu dua anggota polis ditahan selepas dipercayai melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki membabitkan nilai RM2,000 di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) direman selama dua hari bermula Sabtu.
Penahanan kedua-dua anggota polis berusia antara 32 hingga 35 tahun itu dibuat pada Jumaat, susulan laporan dibuat oleh mangsa.
Mangsa mendakwa ketika melalui pemeriksaan di BSI, dia telah ditahan dua anggota polis terbabit kerana dikatakan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
Suspek memeras ugut mangsa supaya membayar RM2,000 bagi mengelak ditangkap dan ditahan di lokap polis.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28