Aidilfitri: Warga kota serbu Jalan TAR dapatkan potongan harga saat akhir

Iklan
Orang ramai memanfaatkan cuti hujung minggu bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Berbaki beberapa hari lagi menjelang Aidilfitri, warga kota dilihat mengambil kesempatan cuti hujung minggu dengan menyerbu Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) untuk membuat persiapan terakhir hari lebaran.

Tinjauan Bernama mendapati walaupun tidak semeriah seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, namun bilangan pengunjung hari ini sedikit meningkat berbanding tiga minggu lepas dek kerana tarikan potongan harga istimewa ditawarkan oleh peniaga.

Iklan
Iklan

Bagi Sazila Basarudin, 39, dia memilih untuk melakukan pembelian pada minggu terakhir Ramadan kerana keadaan di Jalan TAR lebih lengang berbanding minggu sebelumnya berikutan kebanyakan warga kota telah pulang ke kampung halaman.

"Minggu lepas memang saya tidak sempat untuk membeli apa-apa sebab orang terlalu ramai sehingga kita hendak membeli-belah pun tidak selesa. Lagipun apabila kita membeli-belah saat akhir ini, banyak kedai buat potongan harga sebab nak menghabiskan stok," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Sabtu.

Iklan
Orang ramai memanfaatkan cuti hujung minggu bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu. Foto Bernama

Berkongsi pandangan sama Azhar Ahmad, 37, yang melakukan pembelian biskut raya pada saat akhir bagi mendapat harga lebih murah berbanding dijual pada hari biasa.

"Biasanya saya memang buat pembelian saat akhir sebab meriah. Kalau macam kuih raya itu memang boleh dapat diskaun sebab peniaga nak habiskan stok, baju raya pun ada juga yang diberi diskaun," katanya.

Bagi Salmiah Ahmad, 48, dari Keramat pula, walaupun ketika ini ramai membeli-belah baju raya dan barang keperluan lain menerusi platfom e-dagang, namun dia lebih selesa untuk melakukannya secara fizikal.

Iklan

"Memang lebih senang untuk membeli pakaian raya secara dalam talian, barang sampai di depan pintu, tetapi saya lebih suka datang ke butik atau bazar untuk mendapatkan baju raya sebab kadangkala apabila kita membeli dalam talian, saiz baju yang sampai tidak tepat dan material kain juga tidak seperti kita harapkan.

"Jadi lebih baik kita pergi sendiri ke bazar, lebih puas hati kerana dapat saiz dan material kain yang kita kehendaki,” katanya.

Sementara itu bagi Maizatul Hasanah Mouzi, 21, seorang peniaga kek di reruai yang disediakan di Jalan TAR, kehadiran pengunjung dilihat mula meningkat selepas ramai yang menerima gaji minggu lepas.

"Selepas mendapat gaji minggu lepas, jualan kek dan biskut raya meningkat berbanding sebelum ini nak dapat RM500 sehari pun susah. Disebabkan itu kita terpaksa buka gerai sehingga tiga pagi untuk dapatkan balik modal," katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama keluarganya sejak 10 tahun lepas.

Beliau berkata, kebanyakan pengunjung dilihat gemar mengunjungi reruai di Jalan TAR selepas jam 12 tengah malam sehingga awal pagi. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28