Penampilan sulung di Olimpik bukan tiket 'makan angin' - Pekan Ramli

Iklan
Datuk Dr Pekan Ramli

ATLET yang turun dengan status ‘underdog’ di Sukan Olimpik Paris 2024 seharusnya memasang impian besar untuk mencipta sensasi dengan sekurang-kurangnya mencetak rekod kebangsaan bagi meninggalkan ‘jejak’ di temasya empat tahun sekali itu.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pemahaman sekadar untuk menimba pengalaman berharga, dilihat seolah-olah hanya ‘makan angin’ tanpa menetapkan sasaran buat diri sendiri dan ini perlu diubah dengan segera agar selari dengan perubahan zaman.

Iklan
Iklan

Menyedari ia bukanlah sesuatu yang mudah buat atlet, namun tiada yang mustahil sekiranya mereka mempunyai mentaliti ‘wajib berjuang bermati-matian’ memandangkan mereka ini dikategorikan dalam kumpulan ‘nothing to lose’ (tidak rugi).

"Kalau boleh yang pergi pertama kali (secara merit) mesti ada sasaran (walaupun) tahu dia mungkin tidak boleh menang, dia mesti pergi all out (sehabis baik) untuk mendapatkan personal best dalam setiap acara yang mereka masuk... kalau boleh cetak rekod kebangsaan.

Iklan

"Sebab atlet-atlet yang pertama kali masuk Olimpik ini dia rasa macam (mahu) cari pengalaman, namun kena ingat Olimpik ini empat tahun sekali...(Kalau) setakat mahu cari pengalaman belum tentu (Olimpik seterusnya) dapat masuk lagi sebab bukan mudah nak masuk (Olimpik),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pekan menegaskan, adalah penting untuk atlet mengisi slot Olimpik secara merit berbanding tempat wildcard kerana mereka mempunyai kelebihan tersendiri untuk ‘menempa nama’ selain dapat mengumpul mata ranking dunia bagi mengukuhkan kedudukan untuk beraksi pada edisi akan datang.

Selain itu, beliau berharap semua pihak berkepentingan menjaga kebajikan atlet dengan sebaiknya bagi memastikan mereka mampu menggalas cabaran negara dalam dua kitaran Sukan Olimpik lagi.

Iklan

"Atlet kita perlu berjuang untuk layak ke Olimpik secara merit (kerana) kalau yang pergi wildcard kemungkinan empat tahun lagi pastinya ramai atlet negara lain yang meningkat dan menyaksikan mereka terkeluar daripada senarai beraksi.

"Atlet yang masuk (Olimpik Paris) kebanyakannya atlet muda (dan) mereka perlu berjuang habis-habisan (dan) dapatkan prestasi terbaik supaya kita letakkan dia dalam dua kitaran Olimpik lagi.. barulah kita respect kepada mereka,” katanya.

Setakat ini, enam atlet iaitu Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), telah mengesahkan slot ke Olimpik Paris.

Lima daripada mereka iaitu Bertrand Rhodict dan Ariana Nur Danial yang berusia 19 tahun, Mohamad Aniq, 22, selain Nur Shazrin dan Nur Aisyah, 26, merupakan atlet yang pertama kali bertanding di temasya terbesar dunia itu.

Johnathan sebelum ini pernah beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016 namun gagal layak ke final sebagai lapan terbaik selepas hanya menamatkan cabaran pada tempat ke-28 daripada 46 peserta.

Sementara itu, ditanya sekiranya ramalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini yang yakin sekurang-kurangya 20 hingga 29 atlet layak dengan tempoh berbaki kira-kira kurang empat bulan, beliau berkata impian berkenaan sukar untuk digapai disebabkan beberapa faktor.

Antara faktor terbesar ialah atlet negara mempamerkan aksi kurang ‘menyengat’ selain tidak konsisten dalam beberapa siri kejohanan yang disertai.

"Saya nampak rasa agak sukar kita nak pergi dengan jumlah atlet yang ramai kali ini tambahan pula setakat ini lima saja. Mungkin kalau tambah Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal) dan pemain badminton mungkin boleh jangka dalam 15 atlet.

"Mungkin ada dua tiga pergi dengan tiket wildcard tetapi saringan atau kelayakan saja sudah terkeluar jadi yang ini yang kita tidak perlulah. Jadi kalau ada sepuluh-sepuluh lah (layak merit) kualiti penting dari kuantiti,” katanya.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28