PH mesyuarat esok muktamad calon PRK Kuala Kubu Baharu

Iklan

KUALA LUMPUR - Kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat esok untuk memuktamadkan pemilihan calon yang mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor, 11 Mei ini.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, dalam mesyuarat yang diadakan di Shah Alam tengah hari itu, beberapa nama akan dikemukakan untuk penilaian, termasuklah daripada sayap wanita.

"... tapi soal parti mana yang akan bertanding, itu telah ditentukan dan ia calon PH-Perpaduan daripada DAP,” kata Pengerusi DAP Selangor itu pada Sabtu.

Iklan

Gobind yang juga Menteri Digital ditemui media pada Program #IkhlasMYNIC Sinari Ramadan, Raikan Syawal di Damansara, Selangor yang menyaksikan 48 individu daripada 12 keluarga asnaf dibawa untuk membeli-belah barangan persiapan Aidilfitri masing-masing.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Iklan

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28