SHAH ALAM - Sebanyak 30 lokasi kerap berlaku kemalangan melibatkan 14 kawasan di Selangor akan dipantau sepanjang musim perayaan ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lokasi berkenaan merangkumi jalan Persekutuan dan lebuh raya.
"Lokasi yang kerap berlaku kemalangan itu melibatkan beberapa laluan di Sungai Buloh, Petaling Jaya, Kajang, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.
"Selain itu, kekerapan berlaku kemalangan turut dikesan di laluan melibatkan Kuala Selangor, Klang Selatan, Klang Utara, Sepang, Ampang Jaya, Gombak, Kuala Langat dan Serdang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 22 peringkat Selangor anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Hentian Rehat dan Rawat Elmina arah utara, Lebuhraya Guthrie pada Sabtu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Op Selamat pada tahun lalu, beliau berkata, Selangor mencatatkan 1,760 kes kemalangan jalan raya berbanding 1,793 kes tahun 2022.
"Statistik ini mencatatkan penurunan jumlah kemalangan sebanyak 33 kes sekali gus menunjukkan kesedaran masyarakat berkaitan aspek keselamatan jalan raya.
Menurutnya, penugasan Op Selamat kali ini melibatkan keseluruhan anggota trafik di negeri ini dengan 70 peratus anggota akan berada di jalan raya manakala 30 peratus lagi bertugas di pejabat.
"Kehadiran polis di lokasi-lokasi tertentu termasuklah lokasi yang kerap berlaku kemalangan bukan sekadar pemantauan malah mengambil tindakan terus terhadap pengguna yang melakukan kesalahan," katanya.
Tambahnya, pihaknya turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan berkaitan kediaman yang ditinggalkan ketika Aidilfitri ini.
"Justeri orang ramai dinasihatkan mengisi maklumat balik kampung sebelum meninggalkan rumah masing-masing.
"Tindakan yang diambil ini akan dapat mengurangkan risiko rumah yang ditinggalkan daripada dipecah masuk," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!