KELAB berpengaruh tanah air, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak dibenarkan mendaftar pemain baharu sehingga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menarik semula sekatan perpindahan yang dikenakan terhadap pasukan berprofil tinggi Liga Malaysia tersebut.
Itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam yang menyaksikan pengurusan skuad Kenari boleh mengambil pemain-pemain baharu, namun tidak dibenarkan mendaftarkan mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.
"Kedah masih lagi tidak menyelesaikan kes yang membabitkan tuntutan pemain import Kipre Tchetche.
"Kita tengok sampai tarikh akhir nanti. Jika gagal, mereka hanya akan beraksi dengan pemain sedia ada sahaja (pemain musim lalu),” katanya.
Menurut Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, skuad Kenari didapati gagal mematuhi ketetapan syarat menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac lalu.
"FIB mengambil maklum surat daripada KDA FC bertarikh 28 Mac berkaitan penyelesaian 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi 2023 serta surat persetujuan penjadualan pembayaran baki tunggakan gaji yang ditandatangani 75 peratus pemain dan pegawai terlibat bertarikh 29 Mac.
"Namun, itu masih tidak mematuhi peraturan ditetapkan iaitu penyelesaian penuh tunggakan bayaran gaji bagi 2023
"Lesen Kebangsaan KDA FC juga boleh ditarik balik sekali gus tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super 2024/25, sekiranya gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji tersebut atau mengemukakan bukti dokumen kewangan bagi menyelesaikan pembayaran pada 20 April jam 5 petang,” katanya.
Sebagai rekod, saingan Liga Super 2024/25 dijangka menyingkap tirai pada 10 Mei depan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28