Jangan tersembam lagi

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. (Gambar kecil: Afizal)

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) disaran memandang serius penurunan ranking skuad Harimau Malaya yang diumumkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada Khamis.

Malah, Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Afizal Abu Othman menyifatkan kelewatan permulaan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25 antara faktor penyumbang kepada situasi tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi itu menyebabkan pasukan akan memulakan kempen pramusim masing-masing dalam tempoh 60 hari sebelum sepak mula liga.

Jelas Afizal lagi, kebanyakan pemain yang membentuk kelompok teras tonggak Harimau Malaya beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Iklan

"Saingan Liga Malaysia sebenarnya perlu lebih konsisten kerana perjalanan liga memberi impak kecergasan pemain-pemain dalam usaha pembentukan pasukan negara yang kompetitif.

"Jadual Liga Malaysia juga perlu lihat semula dengan kesesuaian perlawanan yang membabitkan skuad Harimau Malaya yakni tumpuan utama pasukan negara dalam sesuatu kejohanan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Iklan

Sementara itu, Afizal berkata, kurangnya aksi kompetitif Harimau Malaya seperti diminta pengendali Kim Pan-gon juga penyumbang kemerosotan tersebut.

"Jika Pan-gon dapat lebih ruang dan peluang untuk perlawanan persahabatan menentang pasukan berkualiti dan ranking lebih baik, saya percaya pasukan Harimau Malaya boleh elak tersembam sebaliknya mampu melakukan kejutan.

"Apa yang diminta Pan-gon selepas ini perlu diberikan perhatian serius dan dipenuhi kerana saya percaya beliau sudah menemui gaya permainan bola sepak yang mahu diimplementasikan.

"Pendek kata Pan-gon lebih tahu kekuatan dan kelemahan setiap pemain-pemainnya yang memerlukan perlawanan kompetitif berkualiti bagi memberi cabaran kepada pasukan lawan,” katanya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga enggan menekan butang panik berikutan kejatuhan enam anak tangga ranking skuad Harimau Malaya ke-138 dunia.

Sebaliknya, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyifatkannya satu proses biasa sesebuah pasukan khasnya skuad Harimau Malaya yang mula menampilkan peningkatan.

Biarpun Mohd Yusoff menegaskan perkembangan semasa skuad kendalian Kim Pan-gon itu bukan perkhabaran positif, namun mengakui situasi tersebut sukar dielakkan skuad senior negara berkenaan.

Pada masa sama Afizal menyarankan badan induk bola sepak negara itu memperkasakan segmen sains sukan untuk Harimau Malaya pada masa depan.

"Apabila kita telah mula berani untuk mencabar pasukan yang lebih tinggi kedudukan ranking atau setara dengan kedudukan kita aspek ketahanan mental perlu juga diberikan tumpuan.

"Biarpun bola sepak sukan memerlukan pergerakan secara unit, namun aspek psikologi individu itu sebenarnya boleh mempengaruhi keseluruhan pasukan.

"Sebenarnya kita dalam hal ini tidak boleh bergantung harap kepada ketua jurulatih, sebaliknya memerlukan individu yang lebih arif dalam bidang psikologi bagi memantapkan mentaliti menang,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28