TEMERLOH - Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sekali lagi menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi majlis iftar anjurannya yang diisytihar sebagai terpanjang di negara ini.
Iftar yang disertai hampir 5,000 pengunjung di Esplanade Temerloh 1 dan 2 di tebing Sungai Pahang pada Sabtu melibatkan jarak sepanjang 2,168 meter.
Sijil pengiktirafan itu diserahkan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng kepada Yang Dipertua MPT, Suris Mihat disaksikan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Hadir sama, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man.
Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berkata, pengiktirafan yang diterima oleh MPT wajar dicontohi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang.
Ujarnya, PBT seluruh Pahang boleh mengetengahkan lokasi-lokasi menarik yang ada di setiap daerah masing-masing untuk menarik kehadiran pelancong.
"Kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada MPT atas pengiktirafan ini dan harap ia berterusan. Saya dimaklumkan tiga bulan akan datang MPT akan cuba anjur karnival makan ikan patin terbesar.
"Kita harapkan PBT yang ada lebih proaktif dan berfikir luar kotak supaya dapat mengadakan sesuatu lebih daripada yang kita ada supaya sama-sama dapat ke hadapan sekali gus lebih berjaya pada masa akan datang," katanya lagi.
Pada Disember lalu, MPT menerima dua pengiktirafan MBOR dengan dua sijil iaitu Pasar Pagi Terpanjang Malaysia iaitu 2,153 meter dan Bilangan Peniaga Pasar Pagi Terbanyak melibatkan 607 orang.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Felda Kumai, Bera, Hasmidawati Othman, 41, berbangga dengan pengiktirafan diterima MPT.
"Sebagai anak Pahang, saya gembira dengan kejayaan yang diterima ini dan ia satu kelebihan yang ada di Temerloh," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!