KOTA BHARU - Pembelian biskut raya yang semakin merosot tahun ini tidak mematahkan semangat pembuat biskut, Nor Aina Lyana Osman untuk meneruskan usaha ibunya, sejak 27 tahun lalu.
Menurut Nor Aina, jika beberapa tahun dahulu dia boleh menjual sehingga lebin 5,000 bekas pelbagai jenis biskut raya namun kini hanya sekitar 2,000 bekas.
Menurutnya, situasi itu mungkin disebabkan perubahan semasa menyebabkan orang ramai mahu berjimat dan mengurangkan perbelanjaan.
"Bagaimanapun, masih ramai pelangggan tetap yang mahu mendapatkan biskut raya di saat akhir untuk dihidangkan kepada tetamu.
"Ada juga yang membelinya sempena mengadakan rumah terbuka," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini.
Nor Aina yang membakar biskutnya terus di ruang legar pasar raya berkenaan menyediakan 20 jenis biskut popular yang digemari orang ramai.
Antara biskut yang dijual oleh ibu kepada seorang anak perempuan berusia lebih setahun itu ialah biskut jering coklat dan pandan, red velvet, almond London dan tart nenas.
Menurut Nor Aina, dalam tempoh beberapa hari menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai yang berkunjung ke gerainya untuk mendapatkan beberapa bekas biskut pilihan.
"Jika sebelum ini ramai yang membuat tempahan awal dan lebih banyak jenis yang mereka pilih tetapi kini pelanggan hanya membeli di saat akhir mengikut bajet yang mampu," katanya.
Bagaimanapun, Nor Aina bersyukur kerana biskut rayanya masih menjadi pilihan pelanggan setia dan mereka pasti membelinya setiap tahun.
Katanya lagi, sejak berada di premis itu sejak 21 Mac lalu, dia dapat menjual lebih 1,000 bekas biskut raya kepada pelanggan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!