Tindakan serta-merta terhadap pemandu bas buat siaran langsung - JPJ

Iklan
Lokman (tengah) semasa memeriksa dokumen seorang pemandu bas ekspress pada Ops HRA 2024 di Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar pada malam Sabtu.

ALOR SETAR - Tindakan tegas serta-merta akan diambil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pemandu bas ekspres yang dikesan membuat rakaman langsung melalui media sosial seperti aplikasi TikTok semasa memandu pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pegawai penyamaran akan ditempatkan di setiap bas ekspres untuk memantau pemandu bagi memastikan tiada pemandu yang melakukan kesalahan terbabit.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini, memang ada kes seperti ini tetapi untuk Ops HRA kali ini, belum ada aduan diterima setakat ini,” katanya pada sidang akhbar pada malam Sabtu.

Sebelum itu, beliau menyertai Ops HRA 2024 di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini.

Iklan

Lokman berkata, jika pegawai penyamaran mengesan pemandu terbabit melakukan kesalahan semasa memandu, tindakan terus akan dikenakan serta-merta, namun perjalanan tetap boleh diteruskan selepas itu.

Justeru, orang ramai boleh melaporkan sebarang aduan secara terus atau real time dengan menggunakan aplikasi My JPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan.

Iklan

Pada sidang akhbar sama, beliau berkata, sebanyak 39,066 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kerana gagal mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya dalam tempoh lima hari sempena operasi khas HRA 2024.

Menurutnya, jumlah notis saman yang dikeluarkan tersebut adalah sebanyak 24 peratus daripada 163,558 kenderaan yang diperiksa bermula 1 hingga 5 April lalu.