ARSENAL dilihat lebih bertenaga untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas terlepas peluang gelaran pada musim lalu.
Skuad bimbingan Mikel Arteta itu ketika ini memimpin carta liga selepas menundukkan Brighton 3-0 awal pagi Ahad.
Ia adalah misi lunas dendam selepas kurang setahun lalu, Seagulls menang 3-0 di Emirates untuk memusnahkan harapan The Gunners mengungguli EPL pertama sejak 2004.
Setahun berlalu Arsenal dilihat lebih matang untuk menyahut cabaran bagi mengalahkan Liverpool dan Manchester City sekali gus menamatkan penantian dua dekad The Gunners untuk memenangi liga.
Jurulatih berusia 42 tahun itu mengulas perkembangan selepas setahun lalu Arsenal kempunan meraih kejuaraan setelah dipintas City pada penghujung musim.
"Kami menandatangani beberapa pemain hebat yang membantu skuad ini semakin baik. Momentum pasukan bergerak dengan positif untuk meraih kejayaan,” ujar Arteta.
Dalam aksi di laman lawan itu, Bukayo Saka membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti sebelum Kai Havertz meledak gol kelimanya dalam sembilan aksi terakhir Arsenal.
Leandro Trossard yang masuk dari bangku simpanan terus menghantui kelab lamanya menerusi sepakan padu menembusi kawalan Bart Verbruggen pada minit ke-86 untuk mengesahkan kemenangan 3-0 Arsenal.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!