KULAI - Kementerian Komunikasi menjangkakan isu agama, raja dan kaum (3R) akan meningkat menjelang menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, isu tersebut sudah biasa dan sengaja dimainkan pihak tertentu setiap kali PRK, pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU) untuk mendapatkan keuntungan politik.
"Kita tidak menolak terdapat tangan ghaib yang memainkan isu tersebut dalam media sosial namun percaya polis akan melakukan siasatan dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perkara itu terkawal.
"Saya berharap orang ramai mempunyai kesedaran dan tidak terpengaruh dengan isu-isu 3R dimainkan pihak terbabit," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sawit di sini pada Sabtu.
Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai menyumbangkan RM30,000 untuk membaiki mozek di kantin sekolah tersebut yang sudah rosak pada 31 Mac lalu.
Pada Khamis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan hari tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April dan 7 Mei, selepas kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac.
Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah memadamkan 1,454 kandungan berkenaan penghinaan terhadap isu agama, raja dan kaum (3R) dalam media sosial sejak 1 Januari hingga 31 Mac lalu.
Katanya, usaha itu yang mendapat kerjasama penyedia perkhidmatan platform media sosial melibatkan 727 kandungan berkaitan kandungan kebencian terhadap agama, 588 kandungan bersifat perkauman dan 139 kandungan bersifat kebencian terhadap institusi diraja.
"Pecahan statistik kandungan berkaitan 3R yang paling tinggi dikesan adalah menerusi Facebook berjumlah 731 diikuti aplikasi Tik Tok (705); aplikasi X (sembilan); YouTube (lima) dan Telegram (empat). Statistik ini menunjukkan peningkatan.
"Ini trend yang membimbangkan. Secara keseluruhan pada tahun 2023 pihak MCM menerima 1,633 laporan kandungan berkenaan penghinaan terhadap isu 3R. Ini melibatkan 519 kandungan kebencian terhadap agama, 960 kandungan bersifat perkauman dan 154 kandungan bersifat kebencian terhadap institusi diraja," katanya.
Mengenai pertemuan pihak Kementerian Komunikasi dan MCMC dengan syarikat konglomerat, Meta Platforms Inc (Meta) pada Isnin ini, beliau berkata, tujuannya bagi membincangkan isu aspek keselamatan dalam talian.
Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kulai, perbincangan itu antaranya akan menyentuh tentang 3R selain mereka yang berumur 13 tahun ke atas tidak akan dibenarkan membuka akaun dalam media sosial contohnya melibatkan aplikasi Tik Tok.
Hina agama: Kenakan hukuman sebat, lucut kerakyatan
Dalam perkembangan berasingan di JOHOR BAHRU Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ayahanda Malaysia (Masia) Johor, Zamrin Hamzah berkata, sudah sampai masanya kesalahan menghina agama perlu dikenakan hukuman lebih berat dengan meminda undang-undang sedia ada.
Menurutnya, ini kerana hukuman sedia ada tidak memberi kesan atau mendatangkan ketakukan sehingga perbuatan itu masih berleluasa dalam media sosial sehingga kini.
"Perbuatan itu jelas boleh mencetuskan provokasi agama sehingga menggugat keharmonian berbilang kaum dan terus menjadi-jadi walaupun dalam kes terbaharu membabitkan kalimah ALLAH masih belum reda.
"Orang ramai masih tidak peduli malah tidak merasa gerun dengan undang-undang sedia ada sehingga terus melakukan provokasi agama secara melampau," katanya.
Beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melihat semula prosedur operasi standard (SOP) tindakan di bawah undang-undang sedia ada bagi menangani isu penghinaan agama.
Katanya, hukuman terhadap bukan Islam melibatkan Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 manakala hukuman untuk orang Islam bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Enakmen Negeri perlu dikaji atau pinda.
Zamrin mencadangkan pesalah dikenakan hukuman sebat, dilucutkan kerakyatan dan denda yang sangat tinggi untuk memberi pengajaran setimpal dengan kesalahan dilakukan supaya perbuatan itu dapat dibendung.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!