KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menugaskan hampir 10,000 tenaga kerja pelbagai peringkat di sepanjang rantaian perkhidmatannya di 11 negeri di seluruh Semenanjung bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik menjelang sambutan Aidilfitri.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, pemantauan ditingkatkan menjelang hari raya dengan kebiasaannya tempoh 72 jam bermula sehari sebelum 1 Syawal adalah kritikal berikutan orang ramai rancak membuat persiapan terutama pada malam Aidilfitri.