Bazar Kompleks Segama hambar menjelang Aidilfitri

Iklan
Penduduk yang ditemu bual memberitahu mereka memilih untuk beraya secara sederhana dan membeli-belah dalam talian. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Bazar Kompleks Segama di sini merupakan antara kawasan tumpuan utama penduduk negeri ini bagi membeli persiapan setiap kali sambutan Aidilfitri, namun tahun ini suasana yang biasanya meriah bertukar hambar.

Peniaga yang ditemui Bernama mengeluh barangan persiapan Aidilfitri tidak mendapat sambutan seperti tahun-tahun sebelumnya, sementara penduduk ditemu bual memberitahu mereka memilih untuk beraya secara sederhana dan membeli-belah dalam talian.

Iklan
Iklan

Peniaga barang kemas dan beg, Saidah Mataru, 34, yang sudah berniaga di situ sejak enam tahun lepas mengakui merasai perbezaan tahun ini apabila pengunjung sangat kurang.

"Tetapi tahun ini, walaupun hari raya tinggal beberapa hari saja lagi pembeli kurang, cuma hari ini saja ada ramai sikit datang ke sini berbanding hari-hari sebelum ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Ahad.

Iklan

Saidah berkata, keadaan itu mungkin kerana beberapa faktor antaranya banyak kedai di Segama ditutup selepas pandemik Covid-19 menyebabkan kekurangan pilihan, selain pembeli telah beralih ke pusat membeli-belah yang berhawa dingin.

Mignaline Rudy, 27, turut merasai perubahan itu apabila aksesori mutiaranya yang sentiasa mendapat sambutan dahulu sangat kurang pembeli tahun ini.

Iklan

Beliau yang mula berniaga di situ sejak 2018 berkata, kawasan Segama kini hanya menjadi tempat lalu-lalang malah penjual boleh tidur kerana banyak masa lapang.

"Biasanya 10 hari lagi hari raya, tempat ini memang akan sesak dengan pembeli tetapi sekarang tinggal empat hari lagi, kurang pembeli," katanya yang bersyukur kain sarung yang dijualnya pada harga RM8 sehelai masih mendapat sambutan.

Katanya, restoran di depan gerainya juga mendapat tempias kerana kebiasaannya waktu berbuka penuh pelanggan tetapi kini hanya boleh dikira dengan jari sahaja.

Sementara itu, pelajar Politeknik Kota Kinabalu Nurnabila Abd Khalid, 20, dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Menumbok Nurtijaniah Sabtu, 20, memberitahu mereka memilih untuk membeli secara dalam talian.

"Kalau dalam talian contohnya di TikTok lebih murah berbanding beli di kedai sebab boleh dapat dengan harga yang rendah, ada juga menyediakan baucar dan penghantaran percuma terutamanya musim perayaan," kata Nurnabila.

Dayang Fatimah Nawi, 52, berkata, beliau hanya membeli kuih raya yang ditempah daripada kawan-kawan kerana lebih mudah berurusan selain sudah saling mengenali.

Bagi Nurfatimah Zulkefli, 24, pula beliau memilih untuk membeli baju secara dalam talian kerana dengan harga RM100, beliau boleh memiliki dua pasang baju dengan penghantaran percuma.

"Membeli dalam talian lebih mudah, tidak perlu bersesak-sesak, paling penting tiada lagi situasi meredah kesesakan jalan raya, cuma kalau membeli dalam talian kena beli awal supaya sampai sebelum Hari Raya," katanya yang berasal dari Sandakan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!