KUANTAN - Berbaki beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri, tukang jahit antara individu yang bersengkang mata demi menyiapkan lebih 300 baju ditempah pelanggan.
Nor Rashidah Mustafa, 40, mengakui dia hanya dapat melelapkan mata lebih tiga jam bagi memastikan tempahan siap mengikut masa ditetapkan.
Menurutnya, itu sudah menjadi rutin baginya setiap kali Ramadan dan apabila menghampiri Syawal sejak 13 tahun lalu setelah menjadikan bidang tersebut sebagai satu kerjaya.
"Macam saya, hanya dapat lelapkan mata sekitar dua hingga tiga jam sehari sahaja, selepas itu kembali bekerja keras untuk siapkan tempahan.
"Perasaan letih itu ada, namun saya berasa seronok sebab Ramadan ini adalah satu bonus kepada kami tukang jahit kerana terima tempahan berganda berbanding hari biasa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedai jahit miliknya di Putra Square di sini pada Ahad.
Ibu kepada lima anak itu memberitahu dia mengambil masa agak lama untuk menyiapkan sepasang baju bagi memastikan setiap inci jahitan kemas dan memberi kepuasan kepada pelanggan.
"Kalau kain jenis lembut, kita perlu berhati-hati menjahit, jadi akan ambil masa sedikit untuk disiapkan," katanya yang memulakan kerjaya tukang jahit bermodalkan RM6,000 daripada wang simpanan sendiri dan pemberian bapanya sekitar tahun 2010 lalu.
Nor Rashidah berkata, bagi memastikan tempahan siap seperti dijadualkan, seramai empat tukang jahit secara sambilan turut digajikan.
Kongsinya, mereka ini akan menjalankan kerja-kerja menjahit di rumah masing-masing dan menyerahkan kepadanya apabila tempahan selesai.
"Saya kenakan kadar upah kepada mereka mengikut bilangan baju yang dijahit. Kalau mereka ambil banyak pasang, maka banyaklah pendapatan mereka perolehi.
"Ini juga salah satu cara untuk saya berkongsi rezeki dengan mereka," ujarnya.
Menjawab mengenai harga tempahan baju raya, Nor Rashidah berkata, harga upah bagi sepasang baju kurung moden di antara RM70 hingga RM80 manakala baju Melayu berharga RM140 dan pakaian jenis fesyen pula sekitar RM250 keatas.
"Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja tangan saya dan mereka yang datang menghantar tempahan baju untuk dijahit bukan sahaja di sekitar daerah ini sahaja tetapi ada juga dari luar," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!