Kalau nak beli sendiri tak tahu bila

Iklan
Zarina (tiga, kiri) bersama empat penerima lain selepas menerima bantuan mesin wafer dan ketuhar menerusi Program Tadahan Rahmat Jajahan Jeli.

JELI - Rutin harian seorang penjual kuih di sini lebih mudah selepas menerima bantuan mesin wafer dan ketuhar sempena Program Tadahan Rahmat Jajahan Jeli di sini.

Zarina Ariffin, 43, berkata, sejak menggunakan mesin wafer dan ketuhar yang diberikan, rutin hariannya lebih cepat malah pengeluarannya juga dapat ditingkatkan.

Iklan
Iklan

"Kalau dulu saya perlu bakar kuih bekang hingga empat kali disebabkan saiz ketuhar agak kecil. Tapi selepas terima bantuan ketuhar ini, hanya dua kali bakar saja sudah memadai bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zarina berkata, dia bersyukur terpilih sebagai salah seorang penerima memandangkan kerja membuat kuih sudah begitu lama dijalankan, namun dengan kemudahan peralatan agak terhad.

Iklan

"Kalau nak beli sendiri tak tahu bila, biasanya nak beli apa-apa, perlu buat secara ansuran sebab hasil jualan kuih cukup-cukup untuk tampung keperluan harian kami sembilan beranak," katanya.

Zarina sebelum itu menerima peralatan berkenaan daripada Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Daud (mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan) sambil disaksikan Pengerusi Puspanita jajahan, Nik Aidil Marina Nik Sapeia dan Pegawai Agama jajahan, Abdullah Mohamad.

Iklan

Sementara itu, Nik Raisnan berkata, seramai lima peserta terpilih menerima bantuan bagi tahun 2018 dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan asnaf di daerah ini.

"Antara yang disumbangkan adalah peralatan perniagaan dan pertanian seperti mesin jahit, alat pertukangan serta mesin untuk perusahaan makanan," katanya.