KUALA PILAH – Rakyat di negara ini dinasihatkan supaya terus mencari titik kebersamaan bagi mewujudkan perpaduan dan keharmonian yang berkekalan.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, rakyat perlu berasa megah sebagai satu bangsa Malaysia agar keamanan dan kesejahteraan dikecapi akan terus dinikmati.
"Kita perlu terus memastikan negara ini bebas daripada gejala yang boleh mengganggu gugat kedamaian dan keamanan serta bebas daripada kekacauan serta huru-hara.
"Beta menyeru kepada semua rakyat, agar semangat kebersamaan diperkuatkan supaya keamanan, keharmonian serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-72, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tahun 2020 di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.
Titah baginda, salah satu kaedah utama untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat ialah dengan memberi pendedahan awal kepada generasi muda untuk bercampur dan bergaul dalam kalangan pelbagai bangsa.
Baginda bertitah, pelbagai aktiviti dan program boleh dibuat untuk generasi muda yang berbilang kaum, saling bekerjasama dan berkomunikasi seperti melalui aktiviti sukan, kokurikulum dan lain-lain lagi.
"Beta yakin pendedahan awal seperti ini secara tidak langsung mampu menggalakkan generasi muda untuk hidup bersatu-padu, menyantuni semua pihak yang berlainan bangsa dan menyuburkan semangat setia kawan.
"Di samping itu, masyarakat kita hari ini juga perlu memberi lebih penekanan untuk mengetahui dan memahami amalan serta budaya antara satu kaum dengan kaum yang lain.
"Selain itu, amalan tolong-menolong tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama turut penting diamalkan kerana ia akan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan sesama rakyat. Melalui cara ini masyarakat akan lebih mengenali dan seterusnya mengeratkan perpaduan serta mengukuhkan lagi persefahaman antara kaum, agama dan budaya di kalangan rakyat negeri ini,” titah baginda.
Baginda bertitah, kedaulatan negara yang dikecapi pada hari ini bukanlah diperoleh dengan mudah dan jasa para pejuang serta pasukan keselamatan negara yang telah banyak menumpahkan keringat, air mata dan darah, demi kedaulatan dan keamanan negara ini juga perlu diingati.
ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Wahid ketuai penerima pingat
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut mengingatkan kepada semua penerima bahawa kurniaan yang diberikan itu bukanlah satu hiasan atau pembawa gelaran semata-mata tetapi lebih kepada pengiktirafan yang perlu dihargai kerana ia sangat berkait rapat dengan martabat dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Justeru, semua penerima mempunyai amanah untuk menjaga kemuliaan dan pengiktirafan yang dikurniakan ini dengan memastikan imej, tata susila, tingkah laku dan keperibadian masing-masing sentiasa terpelihara.
Pada majlis ini, seramai 180 penerima menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-72, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tahun 2020 di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.