Kedai gunting rambut sedia 'diserbu' malam raya

Iklan
Christine menyediakan perkhidmatan gunting rambut kepada lelaki dan wanita termasuk satu ruangan untuk Muslimah.

SHAH ALAM - Pemilik perniagaan kedai gunting rambut mengambil pendekatan menambah baik sistem dan peralatan sedia ada sebagai persiapan awal bagi mendepani peningkatan jumlah pelanggan menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengurus Nimroc Barbershop, Muhammad Azhar Mustaffa, 25, berkata, pertambahan pelanggan setiap tahun memang sukar dijangka dan ada antara mereka yang sanggup beratur sebelum kedai dibuka pada awal pagi.

Iklan
Iklan
Muhammad Azhar Mustaffa

"Untuk bulan Ramadan, kami beroperasi bemula 10 pagi hingga 11 malam tetapi dua minggu sebelum raya kebiasaannya kami melanjutkan waktu operasi sehingga 2 pagi atau 3 pagi. Semuanya bergantung kepada jumlah pelanggan ketika itu.

"Kami turut menambah bilangan pekerja dan melakukan persiapan ‘senjata’ atau mesin gunting rambut lebih banyak serta mengadakan sistem nombor giliran.

Iklan

"Jika pelanggan tidak mahu menunggu lama, mereka boleh melakukan tempahan menerusi laman web perniagaan kami,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tambah Muhammad Azhar, keuntungan sepanjang Ramadan hingga malam raya boleh mencecah puluhan ribu ringgit iaitu tiga kali ganda daripada bulan-bulan lain.

Iklan

Ujarnya, harga yang ditawarkan kepada pelanggan masih sama seperti tahun lalu iaitu RM30 bagi dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak manakala, tambahan RM5 akan dikenakan jika mahu menambah perkhidmatan mencuci rambut.

Sementara itu, pemilik Night Barbershop, Mohamad Badrulamin Mohd Kamarulzaman, 24, berkata, hasil sepanjang Ramadan hingga malam raya boleh mencecah hingga RM5,000 berbanding RM500 hingga RM1,000 sahaja pada bulan lain.

Mohamad Badrulamin

"Memang setiap tahun akan ramai pelanggan, jadi persiapan yang rapi perlu dilakukan bukan sahaja dari segi alat dan kelengkapan tetapi juga persediaan mental serta fizikal kerana akan berhadapan dengan ramai orang.

"Walaupun sudah lima tahun beroperasi, tetapi harga masih rendah iaitu RM15 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

"Waktu operasi pada bulan Ramadan hingga malam raya sama seperti hari biasa tetapi kita lanjutkan sehingga 3 pagi bergantung kepada jumlah pelanggan,” katanya.

Bagi seorang pekerja salun kecantikan, Christine Nguh, 36, premisnya mengehadkan jumlah pelanggan walaupun menerima permintaan yang tinggi dalam satu-satu masa.

Jelasnya, menjelang hari perayaan jumlah pelanggan akan meningkat sekali ganda iaitu daripada 30 orang kepada 80 orang sehari ketika bulan Ramadan hingga malam raya menjadikan hasil diperoleh mencecah hingga puluhan ribu ringgit.

"Kita melakukan perkhidmatan gunting rambut kepada lelaki dan wanita termasuk satu ruangan untuk Muslimah. Tahun ini, kami menurunkan harga sebanyak RM5 untuk setiap servis potong rambut,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28